DNA khianat ada pada Umno bukan Pas – Hadi
Pas menegaskan bahawa ‘DNA’ khianat lebih sinonim dengan Umno sekaligus menyangkal dakwaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan Presiden Umno bahawa Pas mempunyai ‘DNA’ khianat adalah tanpa bukti yang benar.
Menurutnya, Umno pula ada kaitan dengan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) yang nyata hingga mengepung parti itu untuk bekerjasama dengan DAP tetapi ia tidak menjadi halangan kepada usaha perpaduan umat.
“DNA yang dikatakan kepada Pas ialah molekul pembawa maklumat genetik dalam hampir semua organisma hidup, berfungsi sebagai ‘buku resipi’ yang mengandungi arahan untuk pertumbuhan, perkembangan, dan fungsi sel.
“DNA berbentuk heliks ganda dua dan menyimpan kod genetik menggunakan empat bes kimia, iaitu adenina, sitosina, guanina, dan timina,” katanya menerusi hantaran Minda Presiden Pas di Facebook, semalam.
Terdahulu, Zahid dilaporkan mendakwa unsur khianat dalam kalangan pemimpin Pas, menjadi penghalang utama untuk sebarang pertimbangan kerjasama politik semula antara Umno dan parti itu.
Kata Zahid, pengalaman lepas ketika pembentukan Muafakat Nasional (MN), memperlihatkan wujudnya sikap sedemikian dalam Pas, sekali gus menyebabkan hubungan antara kedua-dua parti tidak dapat diteruskan.
Hadi seterusnya berkata, Pas berpegang pada konsep Islam bahawa orang yang dituduh adalah tidak bersalah selagi tidak dibuktikan dengan adil.
Usaha perpaduan
Oleh itu, kata bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat berkenaan, tidak menjadi halangan kepada usaha perpaduan Melayu dan Islam.
“Konsep MN sebenarnya telah diadakan lebih awal sebelum kelahiran Presiden UMNO sekarang iaitu sejak zaman melawan penjajahan dan selepas kemerdekaan pada masa Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, dan Tun Abdul Razak.
“Pas bersama menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menentang komunis. Tiba-tiba, Umno yang berkuasa menggunakannya bagi menentang pengaruh Pas sehingga beberapa orang pemimpin Pas ditahan bawah ISA.
“Rupa-rupanya DNA khianat ini ada pada Umno, bukan pada Pas.
“Peristiwa itu tetap diingati oleh Melayu yang tidak lupa.
“Pas berpegang pada Islam supaya tidak pernah mengkhianati sesiapa dalam semua perjanjian, Pas berjanji dengan hukum Islam dan membatalkan janji dengan hukum Islam juga,” ujarnya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, menjadi lumrah semua pihak yang berbeza pendapat boleh berkelahi dan berperang sambil mengaku pihak masing-masing yang lebih betul, benar, dan baik.
“Hal ini termasuk pendapat Iblis dan pengikutnya yang paling jahat hingga hari Kiamat,” kata Hadi lagi.
BACA JUGA Isu pasir Pahang jadi perbincangan, ini pandangan rakyat di media sosial