Keluarga tentera kini diajar jana duit : MINDEF peruntuk RM20 juta untuk ekonomi ATM

Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM20 juta bagi memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelbagai program keusahawanan dan pembangunan komuniti.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lebih 1,000 keluarga ATM terlibat dalam program yang dirangka khusus untuk meningkatkan kemampuan ekonomi mereka.

Katanya, pendekatan itu penting supaya anggota tentera dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang tanpa dibebani tekanan berkaitan kebajikan dan cabaran kehidupan keluarga.

“Apabila setiap keluarga tentera sudah terjamin ekonominya, setiap anggota tidak lagi terganggu dengan isu-isu soal kesejahteraan keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (PEM ATM) di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu 3, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, sebelum ini kebajikan ATM lebih banyak tertumpu kepada aspek kesihatan, pendidikan anak-anak dan bantuan sosial, namun kini fokus turut diperluas kepada pemerkasaan ekonomi keluarga anggota.

Katanya, antara program yang diperkenalkan termasuk perusahaan madu kelulut, penanaman cendawan serta projek pertanian lain yang dibangunkan dengan kerjasama beberapa universiti tempatan.

Beliau berkata kelebihan utama program tersebut ialah adanya sokongan syarikat berkaitan Kementerian Pertahanan yang bersedia membeli hasil produk diusahakan peserta secara berstruktur dan berterusan.

“Kelebihan program ini ialah ada syarikat berkaitan MINDEF yang mengambil semua produk diusahakan terutamanya madu kelulut dan mungkin selepas ini halia bentong,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan keluarga ATM malah menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara melalui pembangunan ekonomi komuniti secara mampan.

BACA JUGA Peguam Syarie cadang Kelantan dakwa Nik Zawawi di Mahkamah Syariah