Luahan untuk kerajaan: Jangan pinggirkan T20, bila semua ditarik apa jadi dengan kami
OLEH SAIPOLYAZAN M YUSOP
Saya dengan rendah hati memohon kerajaan mengkaji semula hasrat untuk menghentikan subsidi tertentu kepada kumpulan T20 ke atas.
Kumpulan ini menyumbang 27-28% pendapatan kami kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kami diasak LHDN jika terkurang bayaran dan dikenakan penalti.
Ada yang membayar lebih RM500,000 dalam bentuk cukai pendapatan termasuk zakat.
Terlewat membayar ansuran bayaran yang terkurang disekat perjalanan keluar negara. Saya sendiri mengalaminya baru-baru ini.
Penarikan elektrik bersasar telah dikenakan, dimaklumkan kami juga akan terkesan dengan penarikan subsidi RON95.
Diesel sekarang ini kami bayar harga tanpa subsidi dan kami tidak tahu apa lagi akan dikenakan kepada kami.
Anak-anak belajar juga menggunakan simpanan sendiri dan simpanan EPF kerana MARA, JPA dan penaja lain tidak menaja atau memberi pinjaman kerana tidak layak.
Ada antara kami membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk menghantar anak ke universiti dalam dan luar negara sedangkan jika dibenarkan, sebahagian daripada cukai pendapatan boleh digunakan untuk menanggung pembelajaran anak-anak.
Beri sedikit keadilan kepada kami. Golongan ini tidak bising dan merengek seperti mereka yang mendapat manafaat hasil pembayaran cukai kami. Tetapi dalam kalangan kami akan mula menjauhkan diri dari kerajaan.
Kami reda sebahagian pendapatan kami untuk membantu orang lain yang memerlukan, namun jangan abaikan kami. Terima kasih.