Tiada kes jemaah haji Malaysia guna visa palsu setakat ini
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun mengesahkan setakat ini tiada kes penggunaan visa palsu melibatkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini telah memberikan peringatan tegas bahawa individu yang menggunakan visa selain visa haji seperti visa lawatan, pelancongan, pekerjaan atau pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan Makkah khususnya di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Mohd Hisham berkata, pihaknya melakukan pemantauan ketat terhadap dokumentasi jemaah demi memastikan semua jemaah Malaysia mematuhi peraturan ditetapkan Arab Saudi.
“Kita faham ada segelintir masyarakat yang terdesak untuk menunaikan haji dan dalam keadaan itu, mungkin ada pihak tertentu mengambil kesempatan menawarkan pelbagai pakej haji.
“Namun, kita ingin tegaskan bahawa hanya individu yang mempunyai visa haji sah sahaja dibenarkan berada di Tanah Haram dan mengerjakan ibadah haji,” katanya kepada media memetik Bernama.
Beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej haji tertentu menjelang Hari Wukuf yang dijangka pada 26 Mei ini.
BACA JUGA Isu pasir Pahang jadi perbincangan, ini pandangan rakyat di media sosial