Dewan Ulama Pas akui Nik Zawawi silap, minta cermat dan hati-hati
Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengakui terdapat beberapa kenyataan tidak tepat yang dibuat oleh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung fakta sejarah kehidupan para sahabat Rasulullah SAW sebelum kedatangan Islam.
Dalam satu kenyataan media, DUPP memaklumkan pihaknya mengambil maklum dan memandang serius polemik yang tercetus susulan ceramah Nik Zawawi di Kuala Terengganu.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya mendapati beberapa kenyataan yang disentuh tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Uthman bin Affan sebelum memeluk Islam.
“DUPP menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.
“Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih,” katanya.
Menurut kenyataan itu, teguran dan peringatan secara dalaman turut disampaikan kepada Nik Zawawi agar lebih cermat serta berhati-hati ketika menyampaikan fakta sejarah Islam, terutama dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kemuliaan para sahabat Rasulullah SAW.
Pada masa sama, DUPP menghargai teguran daripada para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih.
“Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat,” katanya.
Tambah Mohd Nor lagi, DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam.