Era Azam tamat, bekas hakim ambil alih SPRM hari ini
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini secara rasmi memasuki era kepimpinan baharu apabila Datuk Seri Abdul Halim Aman memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih empat dekad bersama agensi antirasuah berkenaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan Abdul Halim diyakini mampu memperkukuh lagi peranan SPRM khususnya dari sudut integriti, kredibiliti dan penguatkuasaan undang-undang.
“Insya-Allah, saya percaya dengan kredibiliti dan pengalaman beliau dalam jalur perundangan akan terus memberikan nilai tambah, memperkukuh peranan serta mengangkat kedudukan SPRM sebagai badan penguat kuasa yang berprestij di dalam dan luar negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi hari ini.
Beliau turut berkongsi gambar penyerahan watikah pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu.
Dalam masa sama, Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada Azam Baki atas sumbangannya sepanjang 42 tahun bersama SPRM.
Katanya, pelbagai kejayaan dan reformasi berjaya dilaksanakan sepanjang Azam menerajui suruhanjaya itu.
“Jasa bakti Tan Sri akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini,” katanya lagi.
Pada 25 April lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026.
Pelantikan beliau turut menarik perhatian ramai kerana latar belakangnya sebagai tokoh perundangan dan bekas hakim, sekali gus dilihat membawa pendekatan baharu kepada agensi antirasuah negara.
BACA JUGA Tambah Adun lantikan bukan jawapan, PH Johor mahu Dun baru