Bang Mat dedah potensi besar Malaysia, gergasi korporat AS makin berminat
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pagi tadi menerima kunjungan hormat delegasi US-ASEAN Business Council yang disifatkan beliau mampu membuka lebih banyak peluang pelaburan berkualiti serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Delegasi berkenaan diketuai oleh Brian D. McFeeters dan turut disertai wakil beberapa gergasi korporat Amerika Syarikat (AS) termasuk Abbott, Boeing, Cargill, IBM dan Mastercard.

Pertemuan yang berlangsung di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu memberi tumpuan kepada kerjasama strategik Malaysia-Amerika Syarikat dalam sektor pertanian, keterjaminan makanan, pelaburan serta pembangunan teknologi agromakanan.
Mohamad berkata, isu keterjaminan makanan kini menjadi cabaran global susulan perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan antarabangsa, peningkatan kos pengeluaran dan ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan sektor makanan dunia.
Menurut beliau, hubungan perdagangan pertanian antara Malaysia dan AS kekal kukuh apabila jumlah perdagangan produk pertanian antara kedua-dua negara mencecah AS$3.6 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025.
Berskala besar
Jelasnya, Malaysia mengeksport produk seperti kopi, koko, teh, rempah-ratus dan pelbagai produk pertanian diproses ke AS, di samping mengimport produk makanan termasuk tenusu, bijirin, buah-buahan dan makanan ternakan dari negara itu.
“Saya turut berkongsi potensi besar yang ada di Malaysia khususnya peluang pelaburan dalam sektor agro makanan seperti pembangunan industri padi, ternakan ruminan dan penanaman jagung bijirin secara berskala besar bagi menyokong industri makanan ternakan negara,” katanya menurut hantaran di media sosial beliau sebentar tadi.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, Kerajaan MADANI komited menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif serta menggalakkan pemindahan teknologi dan inovasi moden bagi memodenkan sektor pertanian negara.
Dalam pertemuan tersebut, kata Mohamad, mereka turut membincangkan beberapa perkara penting termasuk dasar dan kelestarian sumber, inovasi, pendigitalan pertanian serta usaha memperkukuh ketahanan rantaian bekalan makanan global.
“Bagi saya, kerjasama strategik seperti ini penting untuk membuka lebih banyak peluang pelaburan berkualiti, memperkukuhkan keterjaminan makanan negara dan memastikan sektor pertanian negara terus bergerak maju, moden dan mampan demi manfaat rakyat serta generasi akan dating,” kata Mohamad lagi.
BACA JUGA Fokus bendung ketirisan diesel, bukan potong kuota RON95Â