JPN : Tukar MyKad baru tak jejaskan bantuan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa proses pertukaran kepada MyKad Struktur Baharu yang dijadual bermula Jun ini tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat.

JPN berkata penerima bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) tidak perlu bimbang nama mereka tercicir atau bantuan terganggu sepanjang proses peralihan tersebut.

Menurut jabatan itu, semua data penerima sedia ada akan kekal dalam sistem dan proses migrasi maklumat dilakukan secara automatik menerusi pangkalan data pusat.

“JPN ingin memberi jaminan sepenuhnya bahawa proses peralihan serta penukaran kad pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu tidak akan mengganggu proses penebusan bantuan kerajaan yang menggunakan MyKad.

“JPN juga akan memastikan senarai nama penerima bantuan yang sedia ada di dalam sistem akan kekal dan tidak tercicir semasa proses pertukaran ini,” menurut kenyataan itu.

Penjelasan tersebut dibuat susulan kebimbangan segelintir pihak mengenai kemungkinan berlaku gangguan teknikal atau keciciran penerima bantuan selepas pelaksanaan MyKad baharu nanti.

JPN berkata pihaknya sudah menjalin kerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan integriti data penerima bantuan terus terpelihara.

Menurutnya, MyKad Struktur Baharu itu turut dilengkapi ciri keselamatan tambahan yang akan memperkukuh proses pengesahan identiti penerima bantuan kerajaan.

“Fokus utama JPN adalah untuk meningkatkan keselamatan identiti rakyat dan tidak menyukarkan rakyat untuk menerima bantuan kerajaan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, JPN menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan kerajaan akan dihentikan jika MyKad tidak ditukar segera.

Katanya, proses pertukaran MyKad baharu akan dilaksanakan secara berperingkat dan maklumat lanjut mengenai tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman rasmi JPN atau platform media sosial rasmi jabatan itu.

BACA JUGA Harga diesel, RON97 dan RON95 tanpa subsidi turun