Kenyataan hina sahabat nabi cetus kemarahan umat islam, SEKPUR desak tindakan tegas

FOTO BERITA: Laporan Polis & Sidang Media oleh Sekretariat SEKPUR & NGO-NGO isu menghina Sahabat Nabi di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. 13hb Mei 2026 (Rabu)

Sekretariat Gerak Gempur Media (SEKPUR) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis berhubung isu penghinaan terhadap sahabat Nabi Muhammad SAW dalam satu sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Pengerusi SEKPUR, Mustapa Mansor berkata, kenyataan yang didakwa menghina para sahabat Nabi itu merupakan isu besar kerana menyentuh asas utama ajaran Islam yang diwarisi melalui para sahabat Rasulullah SAW.

Menurut beliau, umat Islam menerima al-Quran, hadis serta ajaran Nabi Muhammad SAW melalui para sahabat, khususnya Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali. “Kalau sahabat-sahabat Nabi ini dipermalukan, bagaimana kita hendak meneruskan kerja dakwah? Ia memberi gambaran buruk terhadap Islam dan umatnya,” katanya.

Beliau turut mendakwa isu tersebut telah menimbulkan kemarahan rakyat pelbagai latar belakang politik dan agama, malah menyifatkan ia sebagai antara insiden paling serius pernah berlaku melibatkan penghinaan terhadap tokoh besar Islam. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pihak terlibat selain meminta individu berkenaan tampil secara terbuka untuk mempertahankan hujah mereka berdasarkan dalil al-Quran dan hadis.

“Kita mahu mereka hadir dalam forum terbuka bersama para ilmuan dan profesor bidang tafsir supaya rakyat dapat melihat sama ada hujah yang dibawa benar ataupun sebaliknya,” katanya lagi. Dalam masa sama, beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan dengan menurunkan kandungan berkaitan yang disifatkan boleh mengelirukan masyarakat dan mencetuskan kebencian.

Mustapa mendakwa kenyataan tersebut pada asalnya bermotifkan politik sebelum dibawa ke arah penghinaan terhadap tokoh agama, sekali gus berpotensi mempengaruhi masyarakat melalui media sosial. Beliau turut mengingatkan bahawa penyebaran ideologi ekstrem melalui media sosial boleh memberi kesan berbahaya kepada masyarakat jika tidak dibendung lebih awal.

“Kita tidak mahu cara berfikir ekstrem ini berkembang di Malaysia. Ideologi seperti ini boleh meresap dalam pemikiran masyarakat jika tidak ditangani secara serius,” katanya. Tambah beliau, SEKPUR juga sedang mengatur pertemuan dengan Mohd Na’im Mokhtar bagi menyerahkan memorandum berhubung isu tersebut serta mencadangkan pendekatan pendidikan dan pemulihan terhadap pihak yang didakwa membawa fahaman menyimpang.

Beliau berkata, tindakan bukan sekadar berbentuk hukuman undang-undang, tetapi juga perlu melibatkan proses “pendidikan semula” bagi membetulkan kefahaman agama yang dianggap boleh mempengaruhi masyarakat.

Sementara itu Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media (SEKPUR), Shahbudin Embun menzahirkan kemarahan terhadap kenyataan yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW. Menurut beliau, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan sensitiviti agama Islam serta menyentuh prinsip utama dalam syariah.

“Saya belajar undang-undang siber dan juga undang-undang syariah. Dalam perundangan Islam, apabila agama dihina dan para sahabat Nabi dipersenda, umat Islam wajib mempertahankan kesucian agama Allah,” katanya dalam sidang media selepas laporan polis dibuat. Beliau mendakwa kenyataan yang dibuat individu terbabit bukan sahaja menghina dua sahabat besar Nabi Muhammad SAW, malah mencetuskan kemarahan umat Islam kerana dianggap membawa naratif yang tidak benar terhadap sejarah Islam.

Sehubungan itu, Shahbudin menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Hasutan terhadap individu terbabit kerana melibatkan isu agama dan sensitiviti 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja. Katanya, isu 3R perlu diberi perhatian serius kerajaan bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Sebelum itu, Setiausaha Agung SEKPUR, Razali Zakaria berkata, laporan polis tersebut dibuat susulan kenyataan yang dikaitkan dengan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Zawawi Salleh yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan menghina para sahabat Rasulullah SAW. Menurut beliau, rakaman ucapan yang tular itu mengandungi kenyataan yang didakwa memfitnah serta memperlekehkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.

Menurut beliau, rakaman ucapan yang tular itu mengandungi kenyataan yang didakwa memfitnah serta memperlekehkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab. “Paling mengecewakan apabila kenyataan tersebut secara terang-terangan menyamakan kedudukan para sahabat Nabi SAW dengan syaitan. Ini merupakan satu penghinaan melampau terhadap agama Islam dan kesucian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika sidang media selepas laporan polis dibuat.

Beliau berkata, tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai provokasi yang berpotensi mencetuskan ketegangan agama serta menggugat ketenteraman awam di negara ini. Sehubungan itu, SEKPUR meminta pihak Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan segera di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan keharmonian agama, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Sehubungan itu, SEKPUR meminta pihak Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan segera di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan keharmonian agama, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Razali turut menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan maruah para sahabat Nabi SAW terus dipelihara dan mengelakkan agama dijadikan bahan politik yang boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. Beliau dalam masa sama memaklumkan bahawa laporan polis berkaitan isu tersebut turut dibuat di beberapa negeri lain oleh pelbagai pihak dan NGO seluruh negara.