Khairy kata ekonomi Malaysia lebih stabil di bawah Anwar

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menstabilkan ekonomi negara serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia, namun beliau berkata rakyat biasa masih belum benar-benar merasai kesan positif tersebut dalam kehidupan harian.

Menurut laporan Bloomberg, Khairy berkata pencapaian ekonomi makro kerajaan ketika ini tidak semestinya diterjemahkan secara langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya generasi muda yang masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup dan masa depan pekerjaan.

“Rakyat tidak merasai angka makroekonomi, pertumbuhan KDNK, kadar pengangguran lebih rendah atau ringgit lebih kukuh,” katanya dipetik Bloomberg.

Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama tahun ini, mengatasi beberapa negara jiran termasuk Singapura dan Thailand.

Dalam masa sama, ringgit turut meneruskan prestasi sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk tahun kedua berturut-turut.

Namun, bagi Khairy, angka-angka tersebut belum cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa keadaan hidup mereka benar-benar bertambah baik.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata, pengundi muda kini lebih tertarik kepada ahli politik yang memahami keresahan sebenar mereka termasuk isu peluang pekerjaan, mobiliti sosial, identiti dan tekanan ekonomi harian.

Menurut beliau, sentimen tersebut dapat difahami kerana beliau sendiri aktif berinteraksi dengan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi pelbagai platform media.

“Saya telah berbual dengan rakyat Malaysia selama tiga tahun, sama ada melalui audio siar saya atau radio,” katanya.

Khairy merujuk podcast Keluar Sekejap yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan selain tugasnya sebagai penyampai radio di Hot FM.

Menarik kembali

Laporan Bloomberg turut menyebut bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat berharap kepulangan Khairy ke dalam Umno mampu membantu menarik kembali sokongan pengundi muda Melayu yang sebelum ini menjauhkan diri daripada parti itu selepas skandal 1MDB.

Khairy sebelum ini dipecat daripada Umno pada Januari 2023 susulan tindakan disiplin selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu bagaimanapun kembali diterima menyertai Umno bulan lalu bersama lebih 6,000 bekas ahli lain.

Mengulas kepulangannya ke dalam Umno, Khairy berkata Zahid menerima beliau “seadanya”, namun menegaskan beliau tetap akan menghormati disiplin dan struktur parti.

“Tetapi, sudah tentu saya akan mematuhi adab dan disiplin parti,” katanya lagi.

Hubungan Khairy dan kepimpinan Umno sebelum ini pernah tegang apabila beliau secara terbuka mengkritik Zahid menjelang PRU15, terutama selepas Barisan Nasional (BN) memindahkannya bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh yang dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Walaupun kini kembali bersama Umno, kenyataan terbaru Khairy menunjukkan beliau masih cuba mengekalkan imej sebagai suara yang lebih dekat dengan sentimen rakyat muda berbanding sekadar mempertahankan naratif rasmi kerajaan atau parti.

Dalam konteks politik semasa, kenyataan beliau juga dilihat menarik kerana ia datang ketika kerajaan MADANI sedang giat mengetengahkan pencapaian ekonomi dan keyakinan pelabur asing sebagai antara kekuatan utama pentadbiran Anwar.

BACA JUGA Antara visa Amerika dan QR kod Malaysia?