KPKT mahu PBT kurangkan caj premis sampai hujung 2026
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyarankan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara supaya mempertimbangkan pengurangan kadar sewaan premis perniagaan, gerai dan medan selera bagi membantu penjaja serta peniaga kecil yang kini berdepan peningkatan kos operasi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan memastikan komuniti perniagaan kecil terus mampu bertahan dalam keadaan ekonomi semasa.
Menurut beliau, pengurangan sewa itu dicadangkan sehingga penghujung tahun 2026 dan melibatkan premis di bawah seliaan PBT masing-masing.
Nga berkata, KPKT turut menyambut baik cadangan yang dibawa Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya PBT membantu penyewa premis milik mereka melalui insentif bersesuaian sebagai langkah segera meringankan beban rakyat.
Katanya, langkah tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kos operasi penjaja dan peniaga kecil, malah boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi.
Beliau menjelaskan ramai peniaga kecil ketika ini masih bergelut dengan kos bahan mentah, sewaan, utiliti dan pelbagai komitmen operasi yang semakin meningkat.
“Dengan memberikan pengurangan sewa ini, kita bukan sahaja membantu kelangsungan hidup peniaga kecil, malah turut membantu memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nga, inisiatif tersebut juga penting bagi memastikan operasi perniagaan kecil dapat diteruskan selain membantu mengekalkan peluang pekerjaan dalam komuniti setempat.
KPKT pada masa sama memuji tindakan beberapa PBT yang telah mengambil langkah awal termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelum ini mengumumkan pengurangan kadar sewaan sehingga 50 peratus bagi premis dan gerai tertentu di bawah kendaliannya.
Langkah DBKL itu kini dilihat sebagai model yang mungkin boleh diikuti oleh PBT lain sekiranya kemampuan kewangan masing-masing mengizinkan.
Selain isu sewaan, Nga berkata kerajaan turut meneruskan pelbagai pendekatan lain bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup termasuk melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan inisiatif BUDI MADANI seperti BUDI Diesel serta BUDI95.
Beliau berkata, bantuan tersebut bertujuan memastikan subsidi dan sokongan kerajaan dapat disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Dalam masa sama, KPKT turut meneruskan beberapa program sokongan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil termasuk penaiktarafan medan selera dan pasar awam serta pelaksanaan projek MyKiosk bagi menyediakan ruang niaga yang lebih teratur dan selesa.
Nga menegaskan kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dan kerajaan tidak mahu mana-mana golongan tercicir daripada menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau lagi, KPKT akan terus bekerjasama rapat dengan semua PBT bagi meneliti kaedah pelaksanaan yang sesuai mengikut kemampuan kewangan dan keperluan setiap kawasan demi memastikan kelangsungan ekosistem ekonomi bandar terus diperkukuhkan.
BACA JUGA AMANAH Selangor edar baju hujan kepada peserta himpunan