Sepupu Nik Zawawi masih waras dari tumpang populariti hina sahabat Nabi SAW
Peguam syarie, Ustaz Dr Nik Rahim Nik Wajis tampil menegaskan beliau sama sekali tidak berminat untuk menumpang populariti Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang sedang dikecam hebat susulan kenyataannya berkaitan para sahabat Nabi Muhammad SAW.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Dr Nik Rahim & Associates, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya kritikannya terhadap Nik Zawawi dibuat semata-mata untuk meraih perhatian.
“Ada netizen kata saya nak menumpang populariti Nik Zawawi yang terang-terang menghina sahabat-sahabat Nabi.
“Alhamdulillah, saya masih waras dan mati hidup balik pun saya tidak ingin hendak menumpang kesesatan Nik Zawawi. Moga Allah melindungi saya,” ujarnya.
Beliau yang mempunyai pertalian keluarga dengan Nik Zawawi berkata, bukan sahaja sepupunya itu, malah terdapat beberapa individu lain yang menurutnya mempunyai pemikiran yang tidak sehaluan dengan prinsip perjuangannya.

Dr Nik Rahim bagaimanapun memuji Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai satu-satunya anak kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang benar-benar mewarisi sifat warak, rendah diri dan keilmuan tokoh ulama berkenaan.
“Ustaz Nik Omar satu-satunya anak Tok Guru Nik Abdul Aziz yang ‘menurun’ tok guru.
“Yang lain semua ‘ke laut’ termasuk anak-anak saudara Tok Guru yang lain,” tegasnya sambil menyenaraikan tiga lagi sepupu beliau yang aktif dalam politik selain Nik Zawawi dan Nik Omar.
Mereka adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani.
Kurang beradab
Dalam masa sama, Dr Nik Rahim yang juga bekas pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut melahirkan rasa kecewa terhadap pemimpin Pas tertentu yang disifatkannya sebagai celupar dan kurang beradab.
Menurut beliau, tindakan menghina sahabat-sahabat Nabi SAW serta membuat tuduhan qazaf terhadap lawan politik merupakan antara punca utama mengapa beliau tidak lagi menghormati pimpinan parti itu.
“Ramai yang mulut celupar dan kurang adab. Sanggup menghina sahabat-sahabat Nabi, sanggup buat tuduhan qazaf kepada seteru politik mereka.
“Inilah antara punca terbesar kenapa saya langsung tak hormat pimpinan Pas mulut celupar dan dangat biadab – walaupun bukan semua!” tempelak beliau lagi.
Sehubungan itu, Dr Nik Rahim berharap golongan terbabit diberikan hidayah oleh Allah SWT agar kembali bertaubat dan insaf daripada segala kesesatan.
BACA JUGA ‘Dosa dan musibah dibawa Jho Low terlalu besar’