Bukan masa berebut kuasa, fokus dulu selesaikan masalah rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kecekalan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam mengharungi kemelut politik yang melanda negeri itu.

Beliau berkata kemelut politik seperti itu seharusnya diselesaikan melalui jalan musyawarah dan muafakat yang baik.

Anwar turut menegaskan bahawa perebutan kuasa bukanlah keutamaan pada masa ini, sebaliknya fokus seharusnya diberikan kepada masalah rakyat.

Beliau juga menekankan bahawa pilihan raya adalah gelanggang yang sewajarnya untuk pertarungan politik.

“Selesaikan cara musyawarah, muafakat yang baik. Negeri Sembilan juga tidak terlepas. Jadi saya tabik Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kerana kecekalan dan semangat yang beliau tunjukkan dalam mengharungi kemelut politik yang tidak berkesudahan.

“Negara kita menghadapi masalah, fokusnya ke masalah rakyat, bukan perebutan. Bukan masanya, ada masa dalam sistem kita. Pilihan raya, itu gelanggangnya. Tapi sekarang masa kita bangun, rakyat harus diberi perhatian,” katanya berucap ketika merasmikan Hari Belia Negara 2026, seperti dilapor BH.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM), iaitu pertambahan sebanyak RM1 juta berbanding sebelum ini.

BACA JUGA Tiada lagi MN, Umno serik nak bekerjasama dengan Pas lagi – Puad Zarkashi