Soalan pemuda Pas makan diri, netizen tepek deretan teguran istana kepada pemimpin PN

Laman Facebook Pemuda Pas Sungai Buloh menjadi sasaran kecaman ramai selepas memuat naik hantaran yang berniat memancing kritikan rakyat terhadap parti pihak lawan.

Sayap pemuda Pas itu bertanya “parti apakah yang banyak melawan titah Sultan?”.

Hantaran itu yang dibuat bertujuan mengumpul kritikan terhadap saingan politiknya nampaknya tidak berjaya.

Pengguna media sosial menghidu “niat” kepada pertanyaan itu dan menyifatkan soalan tersebut sebagai bola tanggung kepada Pas.

Mereka memulangkan paku buah keras dengan berkongsi beberapa keratan media, mengingatkan kembali banyaknya teguran dari Sultan kepada beberapa pemimpin Pas.

Antaranya pada 2021, Yang di-Pertuan Agong waktu itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Baginda berdukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin Hassan selaku Menteri undang-undang waktu itu, telah tidak dilaksanakan.

Pada Februari 2024 pula, Sultan Selangor menyatakan rasa dukacita terhadap kenyataan tidak beradab Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana membuat kenyataan mengelirukan terhadap alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Baginda pada waktu itu menitahkan agar ahli-ahli politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing

Pada September 2024 pula, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Dalam warkah balas baginda pula, Sultan Sharafuddin menerima permohonan maaf tersebut dan menasihati Sanusi “agar menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi, menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam negeri Selangor”.

Pada tahun sama sekitar bulan Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan terhadap pemimpin PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang.

BACA JUGA Dunia menuju krisis baharu, rakyat perlu jadi lebih ‘resilient’ sebelum terlambat