Dana asing propaganda politik : AMK gesa siasat dakwaan kaitan The Tides Foundation

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan penyaluran dana asing yang dikatakan digunakan untuk menggerakkan propaganda politik, operasi siber dan mobilisasi protes jalanan di negara ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata perkara itu tidak boleh dipandang sebagai polemik politik biasa kerana melibatkan isu keselamatan serta kedaulatan negara.

Menurut beliau, laporan yang tersebar ketika ini mendakwa wujud transaksi kewangan melibatkan The Tides Foundation kepada syarikat tempatan, MANDIRI Development Centre Sdn Bhd.

AMK mendakwa transaksi tersebut melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM1.5 juta melalui beberapa pembayaran antara November 2024 hingga Jun 2025.

Selain itu, kenyataan tersebut turut mendakwa terdapat tujuh transaksi lain berjumlah lebih RM686,000 melibatkan individu tertentu yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan.

“Dana tersebut turut didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan politik pihak tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi tujuan membina persepsi dan naratif kebencian terhadap kerajaan,” menurut kenyataan itu.

AMK berkata sekiranya dakwaan tersebut benar, ia merupakan ancaman serius kerana Malaysia tidak boleh menjadi medan campur tangan geopolitik kuasa asing melalui proksi tempatan.

“Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara,” katanya.

Sehubungan itu, AMK menggesa Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh tanpa mengira latar belakang politik mana-mana pihak.

Menurut mereka, sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang termasuk pengubahan wang haram atau ancaman terhadap keselamatan negara, tindakan tegas perlu diambil di bawah undang-undang sedia ada.

AMK turut menegaskan bahawa alasan demokrasi dan kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan penggunaan dana asing bagi tujuan politik domestik yang boleh menggugat kestabilan negara.