KONVENSYEN PH | Ini pasukan yang bekerja, bukan merompak kekayaan – PMX

Dalam ucapan penuh semangat mempertahankan usaha Kerajaan MADANI, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras terhadap sebarang cubaan menggugat kestabilan kerajaan perpaduan sambil menegaskan pentadbiran hari ini dibina atas semangat reformasi, integriti dan kerja keras untuk rakyat bukannya budaya merompak kekayaan negara.

Berucap penuh emosi di Konvensyen Pakatan Harapan di Johor, Anwar berkata beliau tidak akan berkompromi terhadap unsur pengkhianatan atau salah guna kuasa yang boleh merosakkan agenda reformasi yang diperjuangkan sejak lebih dua dekad lalu.

“Ini pasukan yang bekerja. Bukan pasukan yang merompak kekayaan,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Dalam ucapan bernada tegas itu, beliau turut memberi peringatan kepada mana-mana pihak supaya tidak memandang lemah kesabaran dan pendekatan rundingan yang diamalkan kerajaan perpaduan ketika ini.

Menurut Anwar, sepanjang kerjasama antara PKR, DAP dan AMANAH, tidak pernah berlaku usaha menghasut atau mengkhianati sesama sendiri walaupun pelbagai tekanan politik cuba dimainkan pihak luar.

“Tidak ada percubaan untuk menghasut dan mengkhianati satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata pendekatan rundingan dan kesederhanaan yang diamalkan kerajaan hari ini tidak seharusnya dianggap sebagai tanda kelemahan.

“Jangan salah baca. Jangan salah faham.

“Jangan pukul dan ada tindakan ke arah pengkhianatan,” katanya lagi.

Anwar turut memberi bayangan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengembalikan mandat kepada rakyat sekiranya ada pihak terus cuba menggugat kestabilan kerajaan perpaduan.

“Kalau betul pilih untuk dah lelah dan penat dengan kerajaan perpaduan ini, kita kembali kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan dirinya tidak gentar dengan tekanan politik kerana telah melalui pelbagai episod sukar sepanjang perjuangan reformasi termasuk dipenjara.

“Pukul, sudah kena pukul. Penjara, sudah.

“Ini darah reformasi. Pantang dicabar,” katanya yang sekali lagi menerima sorakan hadirin.

Anwar berkata budaya rasuah dan pengumpulan kekayaan melampau menjadi antara sebab utama lahirnya gerakan reformasi lebih dua dekad lalu.

Menurut beliau, kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Tidak boleh diizinkan sama sekali. Dan tindakan akan diambil,” tegasnya.

Ucapan beliau dilihat sebagai mesej jelas kepada pihak dalam dan luar kerajaan bahawa PH mahu mempertahankan kestabilan politik serta agenda reformasi menjelang cabaran politik akan datang.

BACA JUGA PH Negeri Sembilan mahu lawan di 36 kerusi jika BN Johor berkeras