‘Inilah kali pertama Malaysia ada Perdana Menteri yang tidak rasuah’

Kartunis Zunar menyifatkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai titik perubahan penting dalam sejarah negara, khususnya dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh.

Berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 hari ini, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque berkata, beliau bukan ahli mana-mana parti dalam PH, namun kekal sebagai penyokong yang sangat setia kepada gabungan itu.

“Saya bukan ahli mana-mana parti dalam PH, tetapi saya penyokong yang setia. Kadang-kadang kesetiaan saya ini melebihi ahli-ahli parti sendiri,” katanya.

Aktivis politik terkenal itu berkata, sebagai pendiri Studio Bakar Bata dan pemerhati luar, beliau melihat banyak perubahan positif yang dilaksanakan kerajaan hari ini.

Menurutnya, antara perkara paling besar ialah buat pertama kali negara mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak terpalit dengan rasuah dan tidak mengambil gaji sebagai ketua kerajaan.

“Sebagai orang luar parti, inilah kali pertama kita mempunyai Perdana Menteri yang tidak rasuah dan tidak ambil gaji,” tegasnya.

Tidak berani rasuah

Dalam masa sama, Zunar berkata, integriti di peringkat tertinggi memberi kesan besar kepada keseluruhan pentadbiran negara.

“Kalau Perdana Menteri tidak rasuah, menteri-menteri Kabinet pun tidak berani rasuah.

“Apabila turun ke bawah, budaya rasuah juga semakin dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau turut mengimbau bagaimana rasuah pernah menjadi gejala yang semakin membarah dalam negara.

“Dulu rasuah diambil di bawah meja. Selepas itu berpindah ke atas meja. Akhirnya, termasuk meja pun dia ambil,” tempelaknya sambil disambut gelak tawa hadirin.

Menurut beliau, apabila PH mengambil alih kerajaan, gabungan itu berdepan tugas yang amat sukar untuk membersihkan sistem yang telah lama dicemari rasuah.

Namun katanya, kerajaan kini menunjukkan kesungguhan menerusi pelaksanaan dasar seperti Strategi Antirasuah Kebangsaan (NACS) 2024-2028 yang menyasarkan tindakan terhadap semua pihak tanpa mengira kedudukan.

“Bukan ikan bilis sahaja ditangkap, jerung juga ditangkap,” katanya yang turut memanggil kartunis Jonos dan Jonny naik seketika ke pentas.

Tambahnya, tindakan undang-undang kini mula menyentuh golongan yang selama ini dianggap kebal termasuk individu berpengaruh dan pemegang kuasa.

BACA JUGA KONVENSYEN PH | Wakil Wilayah seru jentera pertahan kerajaan PH