KONVENSYEN PH | Kita sedia pilihan raya di seluruh negara – Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi pilihan raya di seluruh negara sekiranya hubungan dalam kerajaan perpaduan terus diganggu atau ada pihak memilih untuk bertembung secara terbuka.

Dalam ucapan penutup penuh bersemangat di Konvensyen Pakatan Harapan di Johor, Anwar menegaskan PH tidak gentar dengan ancaman politik dan mempunyai pengalaman panjang berdepan tekanan serta pengkhianatan.

“Kalau betul mereka memilih untuk lawan, kita akan bertanding habis-habisan,” katanya disambut sorakan gemuruh hadirin.

Beliau berkata PH pada awalnya memilih pendekatan rundingan dan kerjasama demi menjaga kestabilan politik negara, namun kesabaran gabungan itu tidak boleh dianggap sebagai kelemahan.

“Jangan salah baca. Jangan salah faham. Ini darah reformasi. Pantang dicabar,” katanya lagi.

Anwar turut memberi bayangan bahawa beliau boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan mandat baharu rakyat sekiranya keadaan politik terus terganggu.

“Kalau betul sudah lelah dan penat dengan kerajaan perpaduan ini, kita kembali kepada rakyat.

“Bukan sahaja di Johor dan Negeri Sembilan, seluruh negara saya bersedia,” ujarnya.

Menurut beliau, pimpinan Pakatan Harapan akan dipanggil berbincang dalam masa terdekat bagi menentukan langkah seterusnya susulan perkembangan politik mutakhir.

Dalam ucapan hampir sejam itu, Anwar turut mempertahankan rekod pentadbiran Kerajaan MADANI yang menurutnya berjaya menstabilkan politik negara, meningkatkan pelaburan dan melaksanakan pelbagai reformasi ekonomi sejak 2023.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam terbesar dalam sejarah, memperkukuh agenda Bumiputera, membantu SME serta mempercepat projek pembangunan di Sabah, Sarawak dan Johor.

“Kita bukan buat kerana pilihan raya. Kita lakukan sebagai dasar yang konsisten,” katanya.

Anwar turut mempertahankan kerjasama PH dengan DAP dan parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan sambil membidas politik perkauman yang menurutnya terus dimainkan pihak lawan.

“Yes, I work with the DAP. So what?” katanya yang sekali lagi mengundang tepukan hadirin.

Beliau turut menegaskan kekuatan utama PH ialah kemampuan menyatukan rakyat pelbagai kaum dan wilayah dalam satu gabungan politik.

“Negara mana boleh himpunkan Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan dalam satu pasukan yang mantap? Malaysia, Pakatan Harapan,” katanya.

Konvensyen bertemakan Tekad MADANI, Harapan Rakyat itu berlangsung dalam suasana penuh sesak dengan ribuan perwakilan dan penyokong memenuhi dewan sejak pagi, termasuk sebahagian peserta yang terpaksa duduk di atas lantai.

BACA JUGA PH Negeri Sembilan mahu lawan di 36 kerusi jika BN Johor berkeras