KONVENSYEN PH | PH Sarawak masih ada masa depan -Ahmad Nazib
Ahmad Nazib Johari berkata Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai masa depan besar untuk memimpin Sarawak walaupun ketika ini masih berada di blok pembangkang negeri.
Menurut beliau, PH Sarawak terus bekerja keras meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu mampu menawarkan pentadbiran lebih baik dan berintegriti untuk masa depan negeri tersebut.
“Walaupun dalam keadaan kita di Sarawak masih dianggap sebagai pembangkang, tetapi kita bekerja keras bagi meyakini rakyat Sarawak bahawa parti kita adalah parti terbaik dan mempunyai masa depan untuk memimpin Sarawak,” katanya yang juga Pengerusi PKR Sarawak.
Beliau berkata rakyat Sarawak kini mula melihat sendiri pendekatan Kerajaan MADANI pimpinan DAtuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih memberi perhatian kepada negeri itu.
Menurut Ahmad Nazib, antara perkara yang semakin dihargai rakyat ialah komitmen kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.
“Kerajaan MADANI mengangkat MA63, mengangkat martabat orang Sarawak dan memberi kelebihan kepada rakyat Sarawak,” katanya lagi.
Beliau berkata walaupun kerajaan berdepan cabaran ekonomi dan sumber kewangan yang terhad, Sarawak tetap diberikan perhatian menerusi pelbagai projek pembangunan utama.
Katanya, pendekatan tersebut membuktikan kejujuran kerajaan Persekutuan dalam memastikan rakyat Sarawak tidak dipinggirkan.
Dalam masa sama, Ahmad Nazib berkata perkembangan itu turut membantu PH Sarawak tampil lebih efektif di mata rakyat apabila pimpinan parti turun padang membawa suara masyarakat setempat.
Ucapan beliau mendapat perhatian hadirin konvensyen apabila ramai melihat ia sebagai gambaran keyakinan PH untuk terus memperluaskan pengaruh di Sarawak menjelang pilihan raya negeri akan datang.