PKR: Parti pernah lalui lebih besar daripada pengunduran Asheeq

PKR Wilayah Persekutuan mengesahkan pengunduran Asheeq Ali Sethi Alivi daripada semua jawatan parti termasuk sebagai Ketua Cabang PKR Batu dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan media, PKR Wilayah berkata mereka menghormati keputusan tersebut dan merakamkan penghargaan atas sumbangan Asheeq sepanjang bersama parti khususnya dalam gerak kerja di kawasan Batu dan Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, parti itu menegaskan perjuangan PKR tidak bergantung kepada mana-mana individu semata-mata.

“PKR akan terus melangkah ke hadapan bersama barisan kepimpinan dan ahli yang berpegang teguh kepada prinsip serta semangat idealisme perjuangan reformasi,” menurut kenyataan itu.

PKR Wilayah turut memaklumkan proses peralihan kepimpinan di Cabang Batu sedang diuruskan secara dalaman bersama pimpinan cabang termasuk Timbalan Ketua Cabang bagi memastikan gerak kerja parti berjalan seperti biasa tanpa gangguan.

Menurut mereka, perubahan dalam landskap kepimpinan merupakan perkara biasa dalam perjalanan sebuah parti politik demokratik dan matang.

“Sepanjang sejarah perjuangannya, PKR telah melalui pelbagai fasa cabaran termasuk melihat pemimpin datang dan pergi.

“Namun kekuatan parti ini sentiasa berdiri atas semangat perjuangan yang konsisten serta dukungan akar umbi yang terus teguh bersama parti,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin.

Sebelum ini, Asheeq yang juga dikenali sebagai aktivis dan pimpinan muda PKR mengumumkan peletakan jawatan daripada semua posisi dalam parti serta keluar daripada PKR berkuat kuasa segera.

BACA JUGA PM lancar Skim Paduri Madani untuk lahirkan 29,000 usahawan Wanita