Terengganu bukan negeri tiada harapan, PH mesti yakin mampu tawan kubu Pas

Senator Mohd Hasbie Muda menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya melihat Terengganu sebagai negeri yang mustahil untuk ditawan, sebaliknya sebagai ‘negeri yang belum harapan’.

Berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026 pagi ini, perwakilan PH Terengganu tersebut berkata, jentera parti di negeri itu tidak memerlukan simpati atau dana semata-mata, sebaliknya keyakinan penuh daripada kepimpinan pusat bahawa PH mampu merampas semula negeri berkenaan.

“Jangan ada mentaliti bahawa ada negeri yang tiada harapan. Kita hanya ada dua kategori negeri iaitu negeri harapan dan negeri yang belum harapan.

“Kami tidak minta dana, kami hanya minta keyakinan daripada pimpinan PH untuk percaya bahawa suatu hari nanti kita boleh menawan Terengganu,” tegasnya.

Hasbie berpendapat menjadi lumrah anak muda yang berjuang dihantar ke kawasan paling sukar, dan bagi beliau, Terengganu merupakan antara medan paling mencabar kerana menjadi kubu kuat pembangkang.

Namun, Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu memetik strategi ketenteraan tokoh China, Sun Tzu, bahawa pertahanan terbaik adalah dengan menyerang.

“Kita mesti memulakan serangan walaupun di kubu paling kuat mereka,” katanya dalam konvensyen bertemakan Tekad MADANI, Harapan Rakyat.

Beliau menegaskan bahawa PH tidak boleh membiarkan naratif politik dikuasai sepenuhnya oleh lawan.

Dalam masa sama, Hasbie membandingkan prestasi ekonomi negeri-negeri yang ditadbir PH dengan negeri diterajui Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Selangor sahaja menyumbang hampir 26 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, manakala sebuah negeri yang dipimpin Pengerusi PN hanya menyumbang sekitar 2.5 peratus.

“Pencapaian mereka di kubu kuat mereka jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri yang ditadbir PH,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa lawan politik PH sebenarnya tidak sekuat yang digambarkan, malah prestasi pentadbiran mereka juga lemah.

“Mereka bukan kuat pun. Prestasi mereka mentadbir juga lemah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Terengganu mempunyai sejarah besar dalam perjuangan politik negara, termasuk menjadi negeri terawal yang menumbangkan dominasi parti pemerintah pada 1959 serta muncul sebagai antara negeri paling kuat menyokong gerakan Reformasi.

Sehubungan itu, beliau menyeru para menteri dan pimpinan pusat PH agar tidak meminggirkan Terengganu, sebaliknya meningkatkan koordinasi dan sokongan kepada jentera negeri.

“Bantu kami dengan koordinasi dari menteri-menteri . Jangan lupakan kami seolah-olah tiada harapan.

“Berikan kekuatan kepada kami supaya kami dapat mengekang mereka di Terengganu,” tegas Hasbie lagi.

BACA JUGA Konvensyen ini bukan sekadar penuhkan dewan : Mat Sabu seru PH pertahan harapan rakyat