“Kita tidak mungkin menyerah kalah sebelum berjuang. kita akan terus lawan sehingga berjaya rampas Johor” – Aminolhuda

FOTO BERITA: Ucapan Perwakilan PH Negeri, YB Aminolhuda Hassan merangkap Ahli Parlimen Sri Gading sempena Majlis Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Baharu, Johor. 17hb Mei 2026 (Ahad)

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor merangkap Ahli Parlimen Aminolhuda Hassan menzahirkan keyakinan bahawa PH mampu kembali menguasai negeri Johor pada pilihan raya akan datang sekiranya seluruh jentera dan penyokong terus memperkukuh semangat perjuangan serta mengekalkan kesatuan dalam gabungan itu.

Berucap pada Majlis Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Persada Johor International Convention Centre, beliau mengimbau kejayaan PH yang pernah menawan Johor dengan memperoleh 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membuktikan negeri itu bukan lagi kubu kekal mana-mana parti politik.

Menurut beliau, pengumuman pihak tertentu untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor tidak harus dipandang ringan, malah perlu dijadikan pembakar semangat untuk PH menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Kita tidak mungkin menyerah kalah sebelum berjuang. Sebagai pejuang, kita akan terus lawan sehingga berjaya merampas kembali Johor,” katanya disambut laungan semangat penyokong PH yang memenuhi dewan konvensyen.

Dalam ucapannya, Aminolhuda turut membangkitkan isu persempadanan semula kawasan DUN di Johor yang menurutnya perlu diberi perhatian memandangkan terdapat beberapa kawasan bandar mempunyai jumlah pengundi yang terlalu besar sehingga melebihi 100,000 orang.

Beliau mendakwa kegagalan melaksanakan persempadanan semula menunjukkan wujud kebimbangan pihak tertentu terhadap sokongan kuat pengundi bandar kepada Pakatan Harapan.

“Johor sebenarnya mempunyai kekuatan besar untuk PH. Negeri ini menyumbang 14 Ahli Parlimen daripada PH dan ini membuktikan rakyat Johor masih memberikan keyakinan kepada perjuangan kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pimpinan dan penyokong PH agar tidak melupakan pengalaman pentadbiran PH sebelum ini yang tumbang selepas 22 bulan akibat pengkhianatan politik.

Namun begitu, beliau menegaskan PH Johor akan terus bangkit demi memastikan aspirasi rakyat dan pembangunan negeri dapat diteruskan dengan lebih baik.

Aminolhuda turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menurutnya komited membangunkan Johor menerusi pelbagai projek infrastruktur dan ekonomi termasuk pelebaran lebuh raya serta pembangunan sistem pengangkutan rel.

Katanya, pembangunan pesat Johor ketika ini turut dipacu oleh sokongan Kerajaan Persekutuan yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan pelaburan untuk rakyat.

“Kalau pada 2018 kita boleh menang, tidak mustahil untuk kita kalahkan mereka sekali lagi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera PH Johor agar terus bersiap siaga menghadapi cabaran politik semasa dan mempertahankan semangat perjuangan demi memastikan Johor kembali diterajui Pakatan Harapan pada masa depan.