“Power bank gergasi” pertama negara mula beroperasi di Terengganu

Kerajaan MADANI melancarkan projek Tenaga Nasional Berhad Santong Battery Energy Storage System (BESS) di Dungun sebagai langkah memperkukuh keselamatan tenaga negara ketika dunia terus berdepan ketidaktentuan bekalan dan krisis tenaga global.

Projek berkapasiti 100MW/400MWj itu dirasmikan Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Menurut kementerian, projek tersebut menjadi antara sistem penyimpanan tenaga bateri utiliti berskala besar terawal di Malaysia dan bakal memainkan peranan penting dalam menstabilkan grid elektrik negara.

BESS itu digambarkan sebagai “power bank” berskala besar yang mampu menyimpan lebihan tenaga elektrik sebelum disalurkan semula apabila diperlukan.

“Teknologi ini membantu menstabilkan frekuensi grid, mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik serta memastikan sistem pembekalan elektrik kekal stabil walaupun penembusan tenaga boleh baharu semakin meningkat,” menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Kerajaan berkata pembangunan teknologi seperti BESS penting bagi menyokong sasaran Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.

Menurut PETRA, teknologi penyimpanan tenaga menjadi semakin kritikal kerana sumber tenaga boleh baharu seperti solar mempunyai cabaran ketidaktentuan bekalan bergantung kepada cuaca dan keadaan semasa.

Projek Santong turut disifatkan sebagai “bank tenaga pintar” pertama negara yang disambungkan ke sistem grid menggunakan teknologi grid-forming.

Selain memperkukuh kestabilan bekalan elektrik, projek itu juga dijangka membuka peluang pembangunan industri baharu melibatkan teknologi bateri, sistem pengurusan tenaga, grid pintar dan pembangunan tenaga kerja tempatan dalam sektor tenaga hijau.

PETRA berkata pengalaman daripada projek Santong akan menjadi asas penting kepada pembangunan projek penyimpanan tenaga masa depan termasuk integrasi BESS dalam projek solar berskala besar negara.

Menurut kementerian lagi, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan pembangunan teknologi tenaga baharu dapat dilaksanakan secara mampan, selamat dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta negara.

BACA JUGA 84 tahun masih dilihat ancaman? – Nurul Izzah desak dunia bela Ghannouchi