RENCANA | Bila Pas memaafkan Pas, tiada siapa ditanam di jirat Cina?

Oleh NAJIB VAN BENTAYAN

Ada satu ironi besar dalam politik Malaysia yang semakin sukar disembunyikan. Apabila isu agama tercetus dalam “rumah Pas”, nadanya berubah menjadi lembut, berhati-hati dan penuh alasan. 

Tetapi jika perkara sama berlaku di luar lingkungan mereka, negara boleh bertukar menjadi medan perang moral selama berminggu-minggu.

Sebab itu ramai memerhati kontroversi melibatkan ucapan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh, dengan satu soalan sinikal tetapi jujur, nasib baik isu ini bermula dari rumah Pas sendiri.

Kalau tidak, entah siapa pula yang sudah “dikuburkan di jirat Cina” dalam ceramah politik.

Kita semua tahu bagaimana budaya politik sebahagian kelompok agama di negara ini berfungsi. Sedikit kesilapan melibatkan pihak lawan akan diangkat menjadi ancaman akidah nasional.

Klip video dipotong. Poster dibuat. Ceramah bergerak dari satu negeri ke satu negeri. 

Kadangkala belum sempat seseorang memberi penjelasan, hukumannya sudah selesai dijatuhkan di media sosial.

Tetapi kali ini keadaan menjadi canggung kerana yang terpalit bukannya musuh tradisi Pas. Bukan DAP. Bukan pemimpin liberal. Bukan aktivis hak asasi. Sebaliknya seorang tokoh agama dan pemimpin mereka sendiri.

Tiba-tiba suasana menjadi sangat tenang. Yang dahulu garang meminta tangkapan dan permohonan maaf kini mula bercakap soal “konteks”. 

Yang biasanya pantas mengkafirkan budaya lawan tiba-tiba meminta masyarakat “bersangka baik”. Yang sering menjadikan agama sebagai peluru politik kini mahu semua orang bertenang dan tidak memperbesarkan isu.

Di sinilah politik hipokrasi agama mula kelihatan terlalu terang.

Hakikatnya, isu ini bukan kecil. Ia melibatkan gambaran terhadap para sahabat Rasulullah SAW, generasi paling mulia selepas para nabi. 

Dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah, para sahabat mempunyai kedudukan yang sangat tinggi kerana melalui merekalah Islam sampai kepada umat hari ini.

Sebab itu ulama muktabar sepanjang sejarah amat berhati-hati ketika berbicara tentang mereka.

Menariknya, teguran paling keras terhadap isu ini bukan datang daripada lawan Pas, tetapi daripada tokoh dalam dunia Islam sendiri. 

Di kepalai Ketua Pemuda Pas Selangor tampil menegur. Mufti Kelantan mengingatkan soal adab bercakap. Wanita Amanah mengeluarkan kenyataan terbuka. 

Menteri agama turut menyeru agar sensitiviti terhadap sahabat Nabi dijaga. Ini menunjukkan keresahan itu nyata.

Hilang keikhlasan

Tetapi Pas berada dalam situasi yang serba salah. Jika mereka terlalu mempertahankan kenyataan tersebut, mereka dilihat menghalalkan penghinaan terhadap sahabat Nabi. 

Jika mereka mengaku kesilapan, mereka terpaksa menelan hakikat bahawa orang sendiri melakukan perkara yang selama ini mereka hukum terhadap orang lain.

Lalu lahirlah jalan tengah politik berpura-pura marah, tetapi tidak terlalu marah. Dalam keadaan beginilah kita teringat kepada pandangan Allahyarham Hamka tentang bahaya apabila agama diperalat untuk kepentingan kuasa dan kelompok.

Hamka dalam beberapa karya seperti Tasawuf Moden dan Peribadi pernah mengingatkan bahawa manusia boleh kehilangan keikhlasan apabila agama digunakan untuk mempertahankan kepentingan sendiri, kelompok atau kedudukan politik sehingga adab dan hikmah semakin terpinggir.

Pandangan Hamka itu terasa sangat dekat dengan suasana politik hari ini. Kita melihat bagaimana agama sering digunakan sebagai alat menghukum lawan, tetapi menjadi perisai apabila kesalahan datang daripada kawan sendiri.

Bukankah selama ini Pas begitu gemar memainkan retorik mempertahankan Islam? 

Sedikit isu melibatkan kaum lain atau parti lawan akan segera dijadikan modal bahawa Islam sedang dihina. Ada masanya suasana dibuat seolah-olah negara berada di ambang kiamat akidah.

Tetapi apabila kontroversi datang dari pentas ceramah sendiri, tiba-tiba semua orang diminta lebih matang dan tidak emosional. Kalau beginilah caranya, masyarakat akhirnya akan melihat politik agama bukan lagi soal prinsip, tetapi soal siapa yang bercakap.

Jika orang luar tersilap, mereka dianggap musuh Islam. Jika orang sendiri tersilap, itu cuma salah faham.

Inilah penyakit paling merbahaya dalam politik agama, hilangnya neraca moral yang sama rata. Sedangkan Islam tidak pernah mengajar dua standard keadilan. 

Al-Quran sendiri mengingatkan agar berlaku adil walaupun terhadap pihak yang dibenci.Tetapi dalam politik, kebencian dan ketaksuban sering mengalahkan prinsip.

Sebab itu ramai anak muda hari ini semakin sinis terhadap politik yang terlalu menjual agama.  Mereka melihat terlalu banyak percanggahan antara slogan dan amalan.

Di pentas ceramah, bercakap tentang akhlak. Di media sosial, menghina lawan tanpa belas kasihan. Di masjid, bercakap soal ukhuwah. Di pentas politik, semua orang selain kumpulan sendiri dianggap ancaman.

Ironinya, Pas sebenarnya sedang berdepan masalah yang mereka cipta sendiri selama bertahun-tahun. Apabila budaya menghukum dibina terlalu lama, akhirnya budaya itu akan kembali memakan tuannya sendiri.

Hari ini mereka merasai bagaimana sukarnya mempertahankan seseorang apabila masyarakat mula menggunakan ukuran moral yang sama terhadap mereka.

Sebab itu isu ini sebenarnya lebih besar daripada sekadar satu ucapan kontroversi. Ia membuka wajah sebenar politik agama di Malaysia.

Apakah agama benar-benar dijadikan panduan moral? Atau sekadar alat mobilisasi emosi penyokong?

Kerana jika prinsipnya benar-benar agama, maka jawapannya mudah. 

Jika ada kesilapan, perbetulkan. Jika ada ucapan melampau, mohon maaf. Jika ada kekhilafan terhadap tokoh besar Islam, tarik balik dengan rendah hati.

Tetapi apabila ego politik masuk campur, segala-galanya menjadi rumit. Dalam masyarakat Melayu-Islam, budaya meminta maaf sering dianggap kalah. 

Sedangkan dalam tradisi Islam, keberanian mengakui kesalahan adalah tanda kekuatan jiwa. Nabi Muhammad SAW sendiri menunjukkan teladan luar biasa dalam menerima teguran. 

Para sahabat juga saling mengingatkan antara satu sama lain tanpa melihat ia sebagai ancaman kepada maruah. Tetapi politik moden menjadikan manusia terlalu takut untuk kelihatan salah.

Akhirnya yang dipertahankan bukan lagi agama, tetapi ego parti.

Dan rakyat semakin penat melihat sandiwara itu. Mungkin sebab itu ramai mula berseloroh sinis di media sosial “nasib baik benda ini berlaku dalam rumah Pas.”

Kalau tidak, mungkin sudah ada demonstrasi jalanan. Mungkin sudah ada ceramah “Islam dihina.” Mungkin sudah ada tuntutan tangkap bawah pelbagai akta. 

Dan mungkin juga, seperti sindiran politik lama yang selalu diulang, ada orang yang sudah “dihantar ke jirat Cina” dalam pidato politik penuh emosi.

Tetapi apabila yang tersilap itu orang sendiri, rupa-rupanya langit tidak runtuh pun. Negara masih aman. Islam masih teguh. 

Dan rakyat akhirnya nampak dengan lebih jelas beza antara agama sebagai prinsip, dengan agama sebagai alat politik.

BACA JUGA Syok sendiri bergerak solo, Lokman bimbang BN Johor berkubur