Sultan titah Siew Ki, Ronnie Liu datang ke Dataran Selangor fahami Rukun Negara

Sultan Selangor bertitah menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah, ia supaya kedua-dua pemimpin DAP itu menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Baginda turut bertitah menyeru kepada semua wakil rakyat Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen di situ.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin berkongsi, baginda hari ini berangkat ke Dataran Selangor untuk melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan dengan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Menurut Sultan Sharafuddin, Plak Monumen itu dibina dan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berserta dengan tempat duduk yang disediakan untuk para pengunjung.

“Beta telah membiayai sepenuhnya kos bagi pembinaan Plak Monumen Rukun Negara dan tempat duduk ini.

“Dengan terbinanya Plak Monumen ini, Beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara.

“Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di Negara ini,” titah baginda lagi.

Justeru, Sultan Sharafuddin berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia.

Kesamarataan

Bulan lalu, Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Katanya, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, banyak pihak khususnya masyarakat Melayu dan umat Islam mengecam tegas hujahan yang dibangkitkan Siew Ki itu termasuk perbandingan berkaitan kesamarataan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang dilihat meleset daripada konteks sebenar.

Pada 8 Mei lalu pula, Ronnie Liu dilapor mencadangkan penternak babi di Selangor supaya memfailkan semakan kehakiman susulan larangan Sultan Selangor terhadap aktiviti penternakan babi.

Bekas Adun Pandamaran dan Sungai Pelek itu berkata, di Selangor, Sultan mempunyai kuasa Perlembagaan yang penting, namun titah Sultan secara amnya tidak mengatasi undang-undang atau Perlembagaan.

Kenyataan Liu itu sekali lagi mengundang kecaman banyak pihak lantaran disifatkan sebagai melanggar semangat Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

BACA JUGA Ini sebabnya rakyat tak perlu lagi ke hospital besar untuk saringan paru-paru