BN, GPS dan GRS beri jaminan: Anwar kekal hingga tamat penggal

Semua parti komponen utama dalam Kerajaan Perpaduan menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan memastikan kerajaan sedia ada kekal stabil sehingga tamat sepenuhnya penggal pentadbiran.

Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, komitmen dan sokongan BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dinyatakan pada mesyuarat Kabinet hari ini.

“Disebabkan beliau (Perdana Menteri) ada bercakap mengenai soal ini (Pilihan Raya Umum awal) sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) pada Ahad (17 Mei) lalu, beliau ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai perkara itu.

“Parti komponen dalam kerajaan Persekutuan menyatakan mereka berhasrat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.

“Jadi, komitmen itu diulangi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, komitmen tersebut mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

Ia sekaligus, jelasnya, membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat, serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Pada 17 Mei lalu, Anwar yang juga Pengerusi PH membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.

Dalam Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru itu, Anwar yang juga Presiden PKR membayangkan PH akan bertanding di semua kerusi di mana-mana negeri yang BN memilih untuk bergerak sendiri.

Penegasan Anwar berkenaan susulan keputusan BN Johor untuk bertanding solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Untuk rekod, penggal pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dijadual berakhir pada April 2027.

BACA JUGA ‘Dosa saya akan pindah kepada mereka’ – Nik Zawawi