DBKL perkukuh sistem perlesenan mesra perniagaan dengan pembaharuan lesen tiga tahun

FOTO BERITA: Sidang Media Opsyen Pemanjangan Tempoh Sah Laku Lesen Perniagaan Berstatus Lesen Tetap oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Foyer Tingkat 7, Menara Seri WilayahJabatan Wilayah Persekutuan Presint 2, Putrajaya. 20hb Mei 2026 (Rabu)

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan inisiatif baharu pembaharuan lesen perniagaan sehingga maksimum tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026 dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaan bandar raya yang lebih mesra pelanggan, efisien dan progresif.

Pengumuman itu dibuat oleh Hannah Yeoh pada Sidang Media Opsyen Pemanjangan Tempoh Sah Laku Lesen Perniagaan Berstatus Lesen Tetap yang berlangsung di Foyer Tingkat 7, Menara Seri Wilayah, Jabatan Wilayah Persekutuan, Presint 2 di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan bertujuan membantu komuniti perniagaan menghadapi cabaran ekonomi semasa selain memberi kepastian lebih baik dalam aspek perancangan operasi, pengurusan kewangan dan pembiayaan perniagaan bagi tempoh jangka sederhana serta panjang.

Katanya, pendekatan baharu itu juga selaras dengan usaha DBKL untuk mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, fleksibel dan responsif terhadap keperluan warga kota serta komuniti perniagaan.

Melalui pelaksanaan tersebut, tempoh sah laku lesen perniagaan bagi permohonan pembaharuan lesen yang berstatus lulus tetap boleh dipanjangkan daripada satu tahun kepada dua atau tiga tahun, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pelesen tidak mempunyai sebarang kompaun atau tunggakan bayaran sewa dengan DBKL.

Antara kategori sektor perniagaan yang layak dipertimbangkan bagi pembaharuan lesen sehingga tiga tahun ialah premis pejabat, bengkel dan kejuruteraan, lain-lain perniagaan, penternakan dan pertanian, gudang atau stor penyimpanan, hotel, pembuatan dan perindustrian, makanan dan minuman serta tred dan perniagaan.

Sebagai galakan kepada para pelesen, DBKL turut menawarkan insentif potongan kadar fi lesen bagi pembaharuan lesen pelbagai tahun iaitu sebanyak lima peratus untuk tempoh dua tahun dan 10 peratus bagi tempoh tiga tahun.

Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 95,000 pelesen di Kuala Lumpur selain mengurangkan beban urusan pembaharuan tahunan, menjimatkan masa serta kos pematuhan.

Pada masa sama, pendekatan itu membolehkan DBKL memberi tumpuan lebih efektif terhadap sektor dan aktiviti perniagaan yang memerlukan pemantauan serta semakan tahunan secara lebih menyeluruh berdasarkan keutamaan penguatkuasaan dan pematuhan semasa.

DBKL turut menegaskan komitmen untuk terus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan perlesenan yang lebih moden dan berdaya saing selaras aspirasi Kuala Lumpur sebagai bandar raya mesra perniagaan dan kondusif untuk pertumbuhan ekonomi.

Maklumat lanjut mengenai pembaharuan lesen pelbagai tahun itu boleh diperoleh menerusi portal rasmi eLesen DBKL di elesen.dbkl.gov.my