KKM jawab isu kad denggi bahasa Cina – rekod rasmi kekal guna bahasa Melayu
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil memberi penjelasan susulan tular dakwaan penggunaan kad pemantauan pesakit denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak.
Dalam kenyataan rasmi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) menjelaskan bahawa rekod pemantauan rasmi pesakit kerajaan kekal menggunakan bahasa Melayu.
Menurut jabatan itu, insiden terbabit berlaku pada 18 Mei lalu melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan kerana disyaki demam denggi.
“Bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, JKWPKL&P menjelaskan telah berlaku kesilapan tidak disengajakan apabila kad berlainan bahasa diberikan kepada penjaga pesakit.
Katanya, semua penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan tetap disampaikan pegawai perubatan dalam Bahasa Melayu termasuk catatan bertulis pada kad tersebut.
Sehubungan itu, pihak jabatan memaklumkan langkah penambahbaikan segera telah diambil bagi memastikan proses pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian.
Dalam masa sama, KKM menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam berjalan secara berkualiti, selamat dan mesra rakyat tanpa menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
JKWPKL&P turut memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku susulan insiden tersebut.
BACA JUGA 290 liter diesel disorok, PGA patahkan cubaan seludup ke Thailand