KPDN Selangor tumpas cubaan seleweng 2,000 liter diesel bersubsidi guna fleet card

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menggagalkan satu kegiatan disyaki penyelewengan diesel bersubsidi melibatkan sebuah lori bonded dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah stesen minyak di Jalan Batu Tiga Lama, semalam. Serbuan dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari hasil pemantauan dan rondaan anggota penguat kuasa KPDN Selangor di stesen minyak sekitar negeri ini bagi memastikan pengagihan bahan api bersubsidi dilaksanakan secara telus, teratur dan sampai kepada golongan sasar. (Gambar: UKK KODN Selangor)

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek, lori bonded terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika sedang membuat pengisian diesel menggunakan kemudahan Fleet Card yang dipercayai memperoleh harga subsidi. “Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut dikendalikan oleh dua lelaki warga tempatan berusia sekitar 45 tahun yang dipercayai merupakan pemandu dan kelindan lori.

“Pemeriksaan lanjut ke atas badan lori menemukan enam unit Intermediate Container Tank (IBC) berkapasiti 1,000 liter setiap satu, dengan beberapa daripadanya mengandungi bahan api disyaki diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, anggaran keseluruhan diesel yang berjaya diselamatkan daripada diseleweng adalah sekitar 2,000 liter.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan diesel yang berjaya diselamatkan daripada diseleweng adalah sekitar 2,000 liter. Turut ditemukan beberapa keping Fleet Card yang dipercayai digunakan untuk transaksi pembelian diesel bersubsidi. Hasil semakan mendapati salah satu Fleet Card tersebut mempunyai nombor pengenalan yang tidak sepadan dengan nombor pendaftaran lori bonded berkenaan. “Penemuan ini memberi petunjuk awal berhubung kemungkinan berlaku salah guna kemudahan Fleet Card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya.

Siasatan turut mendapati kedua-dua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan barang kawalan berjadual jenis diesel. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan urus niaga tanpa lesen sah. Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan manakala lori bersama bahan api terbabit disita dan dibawa ke stor penyimpanan eksibit KPDN Selangor.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM120,000, sementara nilai subsidi negara yang berjaya diselamatkan dalam operasi itu dianggarkan sekitar RM10,000. Dalam perkembangan berkaitan, KPDN Selangor memaklumkan bahawa sepanjang pelaksanaan OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) bermula 16 Mac hingga 19 Mei 2026, sebanyak 2,233 pemeriksaan telah dijalankan dengan 52 kes direkodkan. “Nilai keseluruhan sitaan di bawah OPS TIRIS 4.0 KPDN Selangor setakat ini mencecah RM1.2 juta,” katanya.

KPDN Selangor menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961, termasuk menyalahgunakan kemudahan Fleet Card dan subsidi diesel. Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama. Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi melalui WhatsApp 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline 1-800-886-800 atau portal e-aduan KPDN.