Muncul akaun TikTok berniat jahat, Sultan Ibrahim desak SKMM bertindak
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kebimbangan terhadap kewujudan satu akaun TikTok palsu yang dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Baginda, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) memaklumkan akaun TikTok menggunakan nama “Sultan Ibrahim Ismail” itu memuat naik video yang mendakwa kononnya Yang di-Pertuan Agong gemar memakan daging khinzir.
Menurut kenyataan itu, tuduhan berkenaan merupakan satu penghinaan serius, berniat jahat dan amat sensitif memandangkan Seri Paduka Baginda ialah Raja Melayu, Ketua Negara dan beragama Islam.
“Royal Press Office turut melahirkan rasa kesal terhadap satu lagi imej dalam akaun berkenaan yang memaparkan wajah Seri Paduka Baginda dipadankan pada tubuh seekor haiwan, yang jelas bersifat menghina dan tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan malam ini.
Sehubungan itu, pihak istana berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam menghasilkan serta menyebarkan kandungan berniat jahat itu.
BACA JUGA Malu pada Lokman Adam, Wan Hussein pertahan PMX siang malam