Berbeza pandangan sekali pun, adab dengan Insitusi Diraja perlu dijaga – WARDA
Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional memandang serius kenyataan terbaharu melibatkan Tony Pua yang menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara dalam nada tidak wajar ketika polemik berkaitan titah Sultan Selangor masih hangat diperkatakan.
Timbalan Ketua Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional, Aishah Zain mengingatkan, dalam berbeza pandangan sekalipun, adab terhadap institusi negara khususnya Institusi Raja-Raja Melayu wajib dipelihara.
Menurutnya, demokrasi tidak pernah menghalalkan kebiadaban, sindiran sinis atau kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai memperlekeh kewibawaan Institusi Diraja.
“Oleh demikian, WARDA Nasional berpandangan bahawa kenyataan Tony Pua adalah satu bentuk kegagalan menghormati Institusi Diraja serta tidak mencerminkan budaya politik matang yang seharusnya diamalkan semua pihak.Â
“Dalam keadaan Sultan Selangor telah menyampaikan teguran secara berhemah, respon yang lebih wajar sepatutnya hadir dengan rasa hormat, rendah diri dan tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, WARDA menjunjung kasih atas titah Tuanku dan mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kestabilan negara ini.
Ini kerana Institusi Diraja adalah sebahagian daripada keseimbangan penting dalam sistem negara yang perlu dihormati dan dipertahankan bersama.
Justeru, beliau menasihatkan semua pihak untuk mengelakkan budaya eksploitasi politik yang cuba menangguk di air keruh demi kepentingan sempit.Â
“Institusi Diraja tidak boleh dijadikan bahan politik mana-mana pihak. Ia perlu didekati dengan rasa hormat, tanggungjawab dan kesedaran bahawa kestabilan negara adalah tunggak utama yang perlu dipelihara oleh setiap warganegara,” tambahnya lagi.
5BACA JUGA Parkir bertingkat Hospital Sultanah Bahiyah kini hampir siap, terima kasih menteri kesihatan