Kad denggi KKM dalam Mandarin jadi isu, doktor ini kata Tamil & Inggeris juga diguna sejak bertahun-tahun

Tular baru-baru ini di media sosial berkaitan penggunaan bahasa Mandarin pada kad maklumat denggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Isu ini mendapat perhatian orang ramai yang tertanya-tanya sejak bila kad maklumat denggi disediakan selain dari Bahasa Melayu.

Seorang pengguna media sosial, memuat naik pertanyaan di platform Threads, bertanya kepada mana-mana pihak berautoriti sama ada mereka boleh mengesahkan sejak bilakah kad dalam bahasa Mandarin digunakan.

Perkongsian itu lantas mendapat respon daripada seorang doktor yang menjelaskan bahawa amalan tersebut sebenarnya sudah lama dilaksanakan.

Doktor yang menggunakan nama dramirulamzar berkata, kad berkenaan sudah lama digunakan semasa beliau bertugas sebagai houseman antara tahun 2013 hingga 2015.

“Dah lama dah, saya houseman 2013-2015 pun dah guna. Ada bahasa Melayu, Cina, Tamil dan English,” tulisnya sekali gus menjawab persoalan ramai tentang polemik isu bahasa Mandarin ini.

Seorang lagi pengguna, rishina0107, yang pernah bertugas di sebuah Klinik Kesihatan (KK), turut mengesahkan perkara sama.

“KK saya dulu pun ada kad dalam 3 bahasa juga. Saya sertai (sebagai petugas) Klinik Kesihatan pada 2020, memang dah ada sebelum saya sertai lagi,” jelasnya.

Oplus_131072

Ada juga yang melihat isu ini dari sudut yang lebih serius. Seorang doktor menggunakan nama drnajwa_s mengingatkan orang ramai bahawa denggi boleh membawa maut dan halangan komunikasi antara pesakit dengan doktor tidak boleh dipandang ringan.

People can die from dengue. Over 100 dengue mortality mostly male over 75 years old. We cannot compromise life over communication barrier. Life and death tak sepatutnya dipolitikkan,” tegasnya.

Kata-kata itu disokong oleh pengguna lain yang bersetuju bahawa isu perkauman tidak relevan apabila nyawa dipertaruhkan.

Well said Dr. It’s all fun and games until you need a transplant, and the donor is not someone from your own race,” tulisnya.

Sementara itu, segelintir pihak berpendapat bahawa isu ini sengaja ditularkan memandangkan pilihan raya semakin hampir.

“Saja la orang-orang semua ini nak goreng isu kaum/bahasa/agama kerana PRU dah dekat. Isu berlaku zaman BN semua orang tak bising, tapi isu yang sama sekarang pula muncul,” kata felixkhor.

Difahamkan, penggunaan kad maklumat denggi dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris merupakan amalan lama yang bertujuan memudahkan komunikasi dengan pesakit dari pelbagai latar belakang kaum.

Ia adalah langkah praktikal dalam perkhidmatan kesihatan awam, bukan sesuatu yang baharu atau kontroversi.