Kenapa LRT Penang tak tender terbuka? – MOT tampil jawab dakwaan ‘projek kroni’

Kementerian Pengangkutan (MOT) tampil menjelaskan dakwaan tular kononnya kontrak Pakej Pertama projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang diberikan secara rundingan terus tanpa proses telus.

Menurut MOT, penggunaan mekanisme Single-Sourcing Request for Proposal (RFP) dibuat atas pertimbangan teknikal dan perundangan selepas Kerajaan Persekutuan mengambil alih projek itu daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Mac 2024.

Kementerian menjelaskan projek tersebut pada asalnya merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang diuruskan kerajaan negeri dengan SRS Consortium dilantik sebagai Project Delivery Partner (PDP) menerusi tender terbuka sejak 2015.

Apabila kerajaan pusat mengambil alih pembiayaan dan pelaksanaan projek itu melalui MRT Corp, kerajaan tidak mempunyai obligasi kontrak secara langsung dengan SRS kerana perjanjian asal dibuat antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan.

“SRS Consortium telah terlibat sejak peringkat awal dan memiliki pengetahuan institusi serta teknikal yang mendalam berkaitan penjajaran landasan, kajian kejuruteraan, EIA, SIA dan Skim Kereta Api,” menurut kenyataan MOT hari ini.

Menurut kementerian itu, kesinambungan tersebut penting bagi mempercepat pelaksanaan projek pengangkutan awam yang sudah lama dinantikan rakyat Pulau Pinang.

MOT turut menegaskan bahawa mekanisme Single-Sourcing RFP tidak sama dengan rundingan terus biasa kerana ia tetap melalui proses penilaian menyeluruh.

“MRT Corp menjalankan penilaian kejuruteraan terperinci, semakan kos dan penilaian bebas oleh dua firma juruukur bahan berasingan,” katanya.

Proses rundingan kontrak itu dilaporkan berlangsung selama lapan bulan bermula April 2024 dan turut melalui proses Value Management Exercise pada April 2025 bagi memastikan pengoptimuman kos.

Hasil proses tersebut, jumlah kontrak muktamad ditetapkan sebanyak RM7.93 bilion.

Dalam masa sama, MOT memberi jaminan bahawa pakej kedua dan ketiga projek LRT Laluan Mutiara akan dilaksanakan menerusi tender terbuka.

“Ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan persaingan sihat dalam perolehan awam,” menurut kenyataan itu lagi.

MOT menegaskan semua keputusan berkaitan projek berkenaan dibuat berdasarkan pertimbangan teknikal, fiskal dan perundangan bagi memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat sistem pengangkutan awam moden yang lebih efisien.

BACA JUGA  Kamil ‘sekolahkan’ SUA Muda isu dana asing