Malaysia perkukuh kedudukan sebagai Hab Francais ASEAN menerusi FIM2026

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Francais Antarabangsa Malaysia 2026 (FIM2026) disempurnakan oleh YB Datuk Armizan Mohd AliMenteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mewakili YAB Dato’Seri Dr.Ahmad Zahid bin Hamidi Timbalan Perdana Menteri di Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 21hb Mei 2026 Khamis. (Gambar: UKK KPDN)

Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2026 (FIM2026) kembali dianjurkan dengan skala lebih besar apabila menghimpunkan lebih 100 jenama francais tempatan dan antarabangsa sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab francais utama di rantau ASEAN.

Majlis Perasmian FIM2026 yang berlangsung di Dewan 1, Kuala Lumpur Convention Centre telah disempurnakan oleh Armizan Mohd Ali mewakili Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

FIM2026 berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Mei dengan sasaran kehadiran seramai 25,000 pengunjung yang terdiri daripada usahawan, pelabur, bakal francaisi dan pemain industri dari dalam serta luar negara.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang pameran termasuk seminar dan forum perniagaan, sesi padanan perniagaan, perkongsian francais, program edutainment serta pameran jenama francais tempatan dan antarabangsa.

Dalam ucapan yang dibacakan oleh Armizan, Ahmad Zahid berkata kerajaan komited memperkukuh pembangunan industri francais negara dengan menyokong lebih banyak jenama tempatan menembusi pasaran antarabangsa dan bersaing di peringkat global.

“Banyak jenama francais Malaysia telah berjaya mengembangkan operasi ke pasaran antarabangsa sekali gus membuktikan kekuatan, kualiti dan inovasi perniagaan tempatan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap kejayaan beberapa jenama tempatan seperti Global Art yang kini berkembang ke lebih 20 negara dengan lebih 600 pusat seni, manakala Marrybrown telah melebarkan operasi ke 16 negara dengan lebih 500 cawangan.

Majlis perasmian turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), selain pelancaran program TVET MFA dan penyampaian sijil graduasi kepada peserta Program Certified Franchise Executive (CFE).

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, FIM2026 mencatat peningkatan sebanyak 10 peratus penyertaan jenama antarabangsa berbanding tahun lalu dengan penglibatan syarikat dari Sepanyol, Taiwan, Indonesia, Jepun dan China.

Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap potensi Malaysia sebagai pusat pertumbuhan industri francais serantau.

FIM2026 turut menampilkan 20 jenama bakal francais dan dalam proses pembangunan di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

Antara rakan strategik yang terlibat termasuk US Pizza, The Manhattan Fish Market, Domino’s, Kyochon Chicken, McDonald’s dan beberapa lagi jenama tempatan serta antarabangsa.

Program anjuran MFA dengan kerjasama KPDN dan PERNAS itu turut mendapat pengiktirafan daripada World Franchise Council (WFC), Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) serta Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).