OIC kecam sekeras-kerasnya keganasan, penghinaan tentera Israel terhadap aktivis flotila

Tindakan pencerobohan, keganasan dan penghinaan yang dilakukan tentera Israel terhadap aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza, dikecam hebat Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sekretariat Agung itu menegaskan bahawa serangan kejam Israel adalah jenayah keganasan terancang.

Ia sekali gus menambah rekod jenayah berulang kali dilakukan rejim Zionis Israel dengan menyasarkan secara sistematik institusi, konvoi dan petugas bantuan kemanusiaan di lapangan.

“OIC turut meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas rejim Zionis Israel terhadap nyawa dan keselamatan para peserta flotila kemanusiaan ini,” menurut kenyataan itu memetik Bernama.

OIC mengulangi bahawa penerusan sekatan haram Israel ke atas Semenanjung Gaza adalah jenayah perang dan hukuman kolektif yang memerlukan akauntabiliti di bawah undang-undang jenayah antarabangsa.