RENCANA | Titah adalah peringatan kebijaksanaan institusi Raja, demi kebaikan negeri dan rakyat
TENGKU ZAFRUL AZIZ
Patik menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas perkenan menghadap semalam.
Patik selaku rakyat negeri Selangor yang setia amat menghargai titah DYMM Tuanku mengenai kepentingan rakyat untuk terus bersatu padu demi kestabilan, keharmonian serta masa depan negeri dan negara.
Titah DYMM Tuanku Sultan Selangor harus difahami dalam kerangka sebenar sistem Raja Berperlembagaan yang sekian lama menjadi tunjang kestabilan negara kita.
Dalam sistem ini, institusi Raja bukan sekadar lambang tradisi dan warisan negara, malah berperanan sebagai payung penyatuan rakyat serta penjaga keseimbangan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Seperti yang diperjelaskan oleh Dewan Di-Raja Selangor sebelum ini, titah Tuanku Sultan bukanlah suatu campur tangan politik, sebaliknya lahir daripada tanggungjawab institusi Raja untuk memastikan kestabilan negeri, keharmonian masyarakat dan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.
Dalam tradisi Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita, titah Raja merupakan nasihat, teguran dan pandangan yang lahir daripada kebijaksanaan institusi Raja demi kebaikan rakyat keseluruhannya.
Ia bukanlah “dekri” atau arahan mutlak sebagaimana yang disalah tafsir oleh segelintir pihak.
Oleh itu, titah DYMM Tuanku Sultan Selangor perlu dilihat dalam semangat yang lebih luas, iaitu memperkukuh perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk Malaysia dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu.
Apa yang dizahirkan Tuanku bukan sekadar berkaitan perpaduan orang Melayu semata-mata, tetapi bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu sendiri perlu menjadi tiang seri kepada kestabilan negara yang turut melindungi kepentingan semua kaum dan agama.
Sejarah tamadun Islam membuktikan bahawa kegemilangan sesuatu peradaban tidak dibina atas perpecahan dan kebencian, sebaliknya melalui kekuatan ilmu, keadilan, kestabilan dan kemampuan merangkul kepelbagaian masyarakat.
Kegemilangan tamadun Islam Uthmaniyah misalnya lahir daripada keupayaan membina sebuah tamadun yang inklusif dan stabil, yang membuka ruang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk hidup bersama serta menyumbang kepada kemakmuran negara.
Kita juga harus memahami hakikat bahawa dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum yang lain.
Kekuatan sebenar sesebuah negara bukan terletak pada siapa yang paling lantang bersuara, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling menghormati, mempercayai dan memahami antara satu sama lain.
Justeru, titah Tuanku Sultan Selangor wajar dilihat sebagai seruan untuk merapatkan saf rakyat, memperkukuh keharmonian dan menjauhkan negeri serta negara daripada budaya politik yang memecah-belahkan masyarakat demi kepentingan sempit.
Janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini sehingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin dan menjejaskan keharmonian rakyat di negeri Selangor.
Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu hari ini, termasuk cabaran krisis tenaga dan gangguan bekalan global, Malaysia memerlukan politik yang matang, stabil dan mampu membina keyakinan rakyat.
Tumpuan harus terus diberikan kepada usaha memperkukuh institusi, mempererat perpaduan dan membina jambatan persefahaman antara kaum, bukannya meniup api perpecahan yang akhirnya membinasakan negara dan bangsa kita sendiri.
Marilah kita terus berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara sebagai panduan membina sebuah masyarakat yang aman, harmoni, stabil dan berjaya.
BACA JUGA Malaysia takkan maju dengan politik kebencian – Mat Sabu