Bukan lagi tanpa kawalan, akaun bawah 16 tahun kini jadi fokus SKMM
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh perlindungan pengguna digital, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
Langkah itu melibatkan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun depan.
Menurut SKMM, kedua-dua kod tersebut diwujudkan selepas siri rundingan bersama pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil dan pelbagai pihak berkepentingan termasuk proses konsultasi awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
SKMM berkata, pelaksanaan CPC dan RMC menjadi antara langkah penting kerajaan dalam memastikan ruang digital di Malaysia lebih selamat, khususnya ketika risiko dalam talian semakin kompleks dan sukar dikawal.
“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” menurut kenyataan itu.
Antara perkara yang paling mendapat perhatian ialah cadangan mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun melalui pendekatan “safety by design” yang mewajibkan platform digital membina sistem perlindungan sejak dari peringkat awal.
Selain itu, CPC turut menetapkan perlindungan berdasarkan umur pengguna termasuk mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya, eksploitasi atau risiko gangguan dalam talian.
Dalam masa sama, Kod Pengurangan Risiko (RMC) pula memberi tekanan lebih besar kepada syarikat penyedia platform digital supaya mengambil langkah proaktif terhadap kandungan memudaratkan di platform masing-masing.
Ia termasuk kewajipan melaksanakan penilaian risiko, memperkukuh tadbir urus kandungan, menyediakan mekanisme aduan lebih berkesan, pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi termasuk kandungan palsu atau diubah suai menggunakan teknologi digital.
SKMM menegaskan pendekatan pelaksanaan kod itu bersifat fleksibel dan berasaskan hasil, bagi membolehkan penyedia platform menyesuaikan langkah keselamatan mengikut keperluan operasi, privasi dan perundangan masing-masing.
Menurut suruhanjaya itu lagi, tempoh pelaksanaan munasabah akan diberikan kepada semua pemberi perkhidmatan supaya proses pematuhan dan pengesahan dapat dilakukan secara teratur sebelum penguatkuasaan penuh bermula.
BACA JUGA Bisnes sambil bantu orang, INSKEN labur RM5 juta perkasa perusahaan sosial