Diplomat Israel dipanggil selepas video aktivis dilayan kasar tular

Brazil dilaporkan memanggil wakil diplomatik Israel susulan kemarahan terhadap video tular yang menunjukkan layanan kasar pihak berkuasa Israel terhadap aktivis armada solidariti Palestin.

Menurut laporan Anadolu Agency dan media tempatan Brazil, Kuasa Usaha Israel ke Brazil, Rasha Athamni dipanggil ke Kementerian Luar Brazil selepas Menteri Keselamatan Nasional Israel berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir memuat naik video yang dianggap “provokatif”.

Dalam pertemuan tersebut, Ketua Jabatan Asia Barat Kementerian Luar Brazil, Clelio Nivaldo Crippa Filho dilaporkan menyuarakan rasa tidak senang terhadap rakaman berkenaan dan menuntut semua aktivis termasuk empat rakyat Brazil dibebaskan segera.

Kementerian Luar Brazil sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan rasmi pada 20 Mei yang menyifatkan layanan Israel terhadap aktivis Sumud Flotilla sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

“Brazil menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan termasuk empat warga Brazil serta mendesak Israel menghormati hak dan maruah mereka selaras dengan tanggungjawab antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kontroversi tercetus selepas Ben-Gvir berkongsi video lawatannya ke Pelabuhan Ashdod, lokasi para aktivis ditahan selepas operasi keselamatan Israel.

Rakaman tersebut memaparkan seorang aktivis wanita menjerit “Free Palestine” ketika Ben-Gvir melintas berhampiran kumpulan tahanan.

Bagaimanapun, polis Israel dilihat bertindak kasar dengan menjatuhkan wanita itu ke tanah bagi menghalangnya terus bersuara.

Dalam video sama, Ben-Gvir kedengaran berkata: “Inilah cara yang sepatutnya dilakukan.”

Tindakan itu mencetuskan kecaman pelbagai pihak termasuk aktivis hak asasi manusia yang menyifatkan layanan terhadap aktivis pro-Palestin semakin agresif di bawah pentadbiran kerajaan sayap kanan Israel.

Ketegangan diplomatik berkaitan isu Palestin sebelum ini turut menyebabkan hubungan Brazil dan Israel beberapa kali menjadi tegang khususnya selepas Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva secara terbuka mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

BACA JUGA Pas dah mula naik angin? – Hadi didakwa tak puas hati dengan langkah Bersatu