KPDN tumpas sindiket seleweng diesel bersubsidi, 43,000 liter dirampas di Pulau Pinang

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar satu kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi operasi khas yang dijalankan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 20 Mei lalu.

Operasi sekitar jam 2 petang itu dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman melibatkan lima pegawai KPDN dan empat pegawai polis.

Serbuan dijalankan hasil aduan awam serta risikan yang dilakukan sebelum ini berhubung kegiatan penyalahgunaan minyak diesel bersubsidi untuk dijual kepada sektor industri.

Siasatan mendapati sindiket dipercayai menggunakan modus operandi membeli minyak diesel bersubsidi menggunakan fleet card milik pihak lain di stesen minyak sebelum bahan api tersebut dipindahkan ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dan dibawa ke sebuah stor simpanan untuk dijual semula.

Pemeriksaan di premis berkenaan menemukan tiga unit tangki simpanan yang disambungkan dengan saluran paip, termasuk satu tangki mengandungi cecair disyaki minyak diesel dianggarkan sebanyak 35,000 liter.

Pasukan serbuan turut mengesan sebuah lori bersama tangki IBC mengandungi kira-kira 2,000 liter minyak diesel sedang melakukan kerja pemindahan ke tangki simpanan, selain sebuah lagi lori membawa tangki IBC mengandungi anggaran 6,000 liter cecair disyaki minyak diesel.

Menurut KPDN, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut gagal mengemukakan dokumen atau lesen sah berkaitan penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual. Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM247,198.

Tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam berkata, kementerian akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi lain bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan subsidi yang menjejaskan kepentingan rakyat serta menyebabkan ketirisan subsidi negara.