RENCANA | PN Berantakan, saling tidak percaya, adakah ini pilihan rakyat dalam PRU akan datang?

DANIAL AL-RASHID

Kenyataan terbaru pimpinan Pas terhadap Bersatu jelas memperlihatkan realiti sebenar dalam Perikatan Nasional hari ini — sebuah gabungan yang semakin retak, saling tidak mempercayai dan lebih sibuk berebut pengaruh dalaman berbanding membincangkan masa depan rakyat.

“The ugly truth” yang kini semakin sukar disembunyikan ialah Pas sendiri mula menerima hakikat bahawa Bersatu sekadar menumpang kekuatan jentera dan pengaruh Pas, manakala Pas pula akhirnya terpaksa menanggung “biawak hidup” demi memastikan gabungan itu terus kelihatan stabil di mata penyokong mereka.

Di Selangor misalnya, semua pihak mengetahui Pas begitu mengharapkan peluang untuk mengambil alih jawatan Pengerusi PN Selangor sekaligus mengetuai blok pembangkang di Dewan Negeri Selangor.Sekurang-kurangnya

Pas mahu menunjukkan bahawa mereka mampu memimpin dan menggerakkan pembangkang dengan lebih tersusun menjelang Sidang Dewan Ogos akan datang.Namun akhirnya mereka tetap terpaksa mengekalkan Azmin Ali. Ini membuktikan bahawa dalam PN sendiri masih wujud ketidakyakinan sesama sendiri, walaupun masing-masing cuba menampilkan imej kononnya paling kuat dan paling dominan.


Saya juga ingin mencadangkan agar Pesuruhjaya Pas Selangor, YB Halim Tamuri dapat segera menggerakkan pasukan mereka dengan lebih aktif, termasuk Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar serta Ketua Penerangan Pas Selangor, Yusfarizal Yussof. Setakat ini, usaha mereka masih belum cukup kuat untuk meyakinkan rakan gabungan bahawa Pas Selangor benar-benar bersedia memimpin PN di negeri ini.

Persoalannya mudah — adakah Pas Selangor masih belum layak diberikan kepercayaan, ataupun anak-anak buah sendiri gagal memainkan peranan dengan baik? Inilah yang sedang berlaku dalam pembangkang hari ini. Ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik dunia, mereka masih sibuk mengira jawatan, menyusun pengaruh dan bergelut sesama sendiri.

Jadi dalam keadaan mereka terus bertelagah demi kedudukan dalam struktur gabungan pembangkang, adakah rakyat masih mahu meletakkan keyakinan kepada sebuah gabungan yang gagal menunjukkan kestabilan dalaman?

Pakatan Harapan pilih jalan berbeza.

Kerajaan Negeri Selangor terus fokus bekerja — membincangkan soal pertumbuhan ekonomi, menangani cabaran krisis global, memperkukuh pelaburan negeri serta memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

Saya cukup yakin ekonomi Selangor akan terus berkembang meskipun dunia sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi antarabangsa. Selangor telah membuktikan kekuatan asas ekonominya apabila merekodkan sumbangan sebanyak 26.2% kepada KDNK negara pada tahun 2024, sekali gus kekal menjadi penyumbang terbesar ekonomi Malaysia. Dengan kekuatan sektor perkhidmatan, industri pembuatan, ekonomi digital dan keyakinan pelabur yang masih tinggi terhadap Selangor, saya percaya negeri ini mampu mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik dalam tempoh mendatang.

Apa yang lebih penting, YAB Datuk Menteri Besar Selangor menunjukkan kepimpinan yang tegas dan cekap apabila segera menyusun semula keutamaan perbelanjaan negeri sebaik sahaja krisis global mula memberi kesan kepada ekonomi dan rantaian bekalan.

Kerajaan negeri tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk. Sebaliknya, langkah awal telah diambil melalui Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri terus dipertahankan, keterjaminan makanan diperkukuh dan bantuan kepada rakyat dapat diperluaskan sebelum krisis memasuki fasa yang lebih tegang.

Inilah beza antara kerajaan yang fokus bekerja dan pembangkang yang terus tenggelam dalam perebutan kuasa dalaman. Ketika mereka berpolitik tanpa arah, kerajaan negeri terus bergerak memastikan rakyat dan ekonomi Selangor kekal dilindungi.

*** Penulis adalah Adun Batu Tiga Selangor yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

BACA JUGA Dulu Umno dikafirkan, kini giliran Bersatu pula? — Faiz Fadzil