Ulama Pas jaja ekonomi negara merudum, realitinya syarikat gergasi dunia berebut masuk Malaysia
Tuduhan Pas kononnya ekonomi Malaysia sedang merudum bercanggah dengan realiti yang berlaku apabila semakin banyak syarikat antarabangsa dan pemain industri global memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta hab operasi baharu.
Gelombang kemasukan pelaburan asing itu dilihat semakin ketara susulan perkembangan pesat sektor pusat data (data centre), semikonduktor dan teknologi tinggi yang kini menjadikan Malaysia antara destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara.
Laporan Reuters hujung April lalu, antaranya, mendedahkan syarikat pusat data gergasi Australia, AirTrunk melabur AS$3 billion untuk membina dua pusat data hyperscale baharu di Johor Bahru, sekali gus menggandakan operasinya di Malaysia.
Pelaburan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan AirTrunk di Malaysia mencecah AS$6.8 bilion, dengan empat pusat data utama bakal beroperasi di negara ini.
Dalam masa sama, syarikat teknologi global Equinix dilapor melabur lebih AS$190 juta untuk membina pusat data keempatnya di Kuala Lumpur bagi menyokong pertumbuhan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi di rantau ASEAN.
Lokasi operasi
Sebelum ini juga, dilaporkan Johor semakin mendapat limpahan pelaburan susulan kekangan dan moratorium pusat data di Singapura, menyebabkan banyak syarikat memilih Johor sebagai lokasi operasi baharu mereka.
Antara syarikat antarabangsa yang sudah mengembangkan operasi di Johor termasuk Microsoft, Nvidia, AirTrunk, GDS International, Princeton Digital Group dan ByteDance.
Malah, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini dilihat sebagai pemangkin utama kepada penghijrahan pelaburan teknologi dan digital ke Malaysia.
Penganalisis industri turut menjangkakan Johor bakal menjadi hab pusat data terbesar Asia Tenggara dalam beberapa tahun akan datang, dengan kapasiti pusat data Malaysia dijangka melonjak lebih tiga kali ganda menjelang 2030.
Selain pusat data, Malaysia juga terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab semikonduktor global dengan negara kini mengendalikan kira-kira 13 peratus aktiviti ujian dan pembungkusan cip dunia.
Daya saing
Naratif pembangkang yang mendakwa ekonomi negara sedang merudum juga muncul lantaran kebencian kepada Kerajaan MADANI ketika pelabur antarabangsa terus memilih Malaysia sebagai destinasi strategik operasi dan pelaburan mereka.
Contohnya, H&M, jenama pakaian moden antarabangsa telah mengumumkan langkah strategik untuk menyusun semula operasi di rantau Asia Pasifik dengan memindahkan ibu pejabat Asia Tenggara dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Penstrukturan semula itu merupakan sebahagian daripada evolusi model operasi komersial syarikat itu dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat utama bagi pasaran Asia Tenggara.
Kelmarin, Gardenia Foods (S) Pte Ltd juga mengumumkan bahawa ia akan memindahkan pengeluaran roti dari Singapura ke Johor Bahru susulan kemudahan pengeluaran di Pandan Loop akan menghentikan operasi pada 30 Jun.
Menurut syarikat itu, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengekalkan daya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Malah, Pegasus United Asia Sdn Bhd mengumumkan bahawa sebahagian fungsi operasi dari pejabat Singapura akan dipindahkan secara berperingkat ke Malaysia.
Syarikat yang terlibat dalam industri mesin jahit industri dan peralatan pengeluaran tekstil itu merupakan subsidiari kepada syarikat Jepun Pegasus Co., Ltd.

BACA JUGA Kemunafikan politik Pas terserlah, ukuran ‘derhaka’ berubah ikut warna parti