Zeti : Malaysia ada keupayaan elak krisis lebih besar
Tokoh ekonomi negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberi peringatan bahawa gangguan ekonomi global susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran tidak boleh dipandang ringan, namun beliau percaya Malaysia masih mempunyai kemampuan untuk mengelakkan keadaan itu daripada bertukar menjadi krisis besar jika diurus dengan cekap dan pantas.
Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berkata, situasi semasa bukan lagi sekadar isu sementara kerana dunia kini sedang berdepan ketidaktentuan yang semakin kompleks melibatkan geopolitik, perdagangan, tenaga dan rantaian bekalan global.
“Ini merupakan gangguan, dan ya, jika diuruskan dengan baik, gangguan itu tidak akan menjadi krisis. Itulah yang kita mahu lakukan — keluar daripadanya,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan FLUX 2026 di Kuala Lumpur.
Menurut Zeti, asas ekonomi Malaysia ketika ini masih berada pada tahap kukuh, namun negara tidak boleh terlalu selesa kerana banyak perkembangan global berada di luar kawalan kerajaan dan pemain industri tempatan.
Beliau berkata, dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, kerajaan dan sektor swasta perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk konflik berpanjangan yang boleh menjejaskan perdagangan, harga tenaga dan kestabilan ekonomi serantau.
“Kita perlu beroperasi berdasarkan pelbagai kemungkinan senario. Sama ada perang itu berakhir lebih awal atau konflik ini akan berpanjangan, semua pihak perlu bersedia dengan cara bertindak balas masing-masing,” katanya.
Zeti turut menegaskan bahawa keupayaan sesebuah negara menangani krisis bukan hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi semata-mata, tetapi juga kepada kecekapan institusi kerajaan dalam membuat keputusan secara cepat dan terselaras.
Beliau berkata, Malaysia sebelum ini mempunyai pengalaman mengurus ketidaktentuan ekonomi menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang berfungsi memantau perkembangan semasa dan membantu kerajaan bertindak lebih awal sebelum sesuatu krisis menjadi lebih parah.
“Bertindak lebih awal dalam mengurus kejutan akan membantu meminimumkan kos dan kesan gangguan yang mungkin berlaku,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa dunia kini sedang memasuki “normal baharu” yang dipenuhi ketidaktentuan berterusan susulan perubahan dasar ekonomi kuasa besar dunia, peningkatan nasionalisme ekonomi dan gangguan teknologi yang berlaku terlalu pantas.
Menurut beliau, kerajaan, syarikat dan rakyat perlu mula membina daya tahan jangka panjang kerana pergantungan kepada pendekatan reaktif semata-mata tidak lagi mencukupi dalam keadaan global semasa.
Kenyataan Zeti itu dilihat selari dengan langkah Kerajaan MADANI yang ketika ini giat memperkukuh kesiapsiagaan ekonomi negara termasuk memantau rantaian bekalan tenaga, memperluas bantuan bersasar dan meningkatkan koordinasi ekonomi melalui pelbagai mekanisme pengurusan krisis.
BACA JUGA Agong luang masa ziarah bekas Pengelola Diraja Johor