Anwar hubungi CM Vijay, bayang kunjungan ke Tamil Nadu september ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan beliau sempat berbicara dan bertanya khabar dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, CM Vijay, sambil mengucapkan tahniah atas tanggungjawab besar yang kini digalas pemimpin itu demi rakyat negeri berkenaan.

Dalam perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau turut memaklumkan kepada CM Vijay mengenai lawatan rasminya ke India pada September depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS serta mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Menurut Anwar, beliau juga berharap dapat mengadakan kunjungan singkat ke Tamil Nadu sekiranya berkesempatan sepanjang lawatan tersebut.

“Saya turut maklumkan akan ke India pada September nanti bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS serta mengadakan pertemuan dengan PM Modi, dan jika ada kesempatan akan mengadakan kunjungan singkat ke Tamil Nadu,” katanya.

Anwar turut mendoakan agar CM Vijay terus diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam memimpin pentadbiran Tamil Nadu demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

“Semoga CM Vijay terus diberikan kekuatan dan hikmah untuk memimpin serta mentadbir dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan masa depan yang sempurna buat Tamil Nadu,” katanya lagi.

Perkongsian itu dilihat mencerminkan hubungan mesra antara kepimpinan Malaysia dan Tamil Nadu, selain memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India menjelang Sidang Kemuncak BRICS yang dijangka menjadi antara platform penting membincangkan landskap ekonomi dan geopolitik global semasa.

BACA JUGA Nik Zawawi telah diambil kenyataan oleh Jabatan Agama Terengganu, tunggu keputusan pendakwaan