Nak bantu rakyat atau nak buat ‘photo kenangan? – Chin Tong kritik agihan BKJ Johor
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong mengemukakan tiga cadangan kepada Kerajaan Negeri Johor bagi menambah baik proses agihan Bantuan Kasih Johor (BKJ), khususnya melibatkan warga emas.
Menurut beliau, cara pengagihan bantuan tunai ketika ini dilihat menimbulkan kesulitan kepada penerima apabila mereka perlu hadir ke lokasi tertentu dan menunggu berjam-jam hanya untuk menerima bantuan.
Dalam kenyataan di Facebook, Liew mencadangkan supaya bantuan tunai disalurkan terus melalui bank bagi memudahkan penerima, selain mengurangkan risiko keselamatan dan kesesakan.
Beliau berkongsi pengalaman ketika membantu pelaksanaan bantuan warga emas di Pulau Pinang selepas 2008, apabila kerajaan negeri ketika itu akhirnya memutuskan bantuan diagihkan melalui Maybank sebelum dikreditkan terus ke akaun penerima.
“Sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat menyalurkan bantuan tunai dengan lebih cekap sejak 2009, seeloknya Kerajaan Negeri Johor juga memanfaatkan teknologi dengan baik demi kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.
Selain itu, Liew turut menegur pendekatan menghimpunkan warga emas beramai-ramai untuk menerima bantuan kerana ia dilihat tidak sesuai dan menyusahkan golongan terbabit.
Katanya, ramai warga emas terpaksa meminta bantuan ahli keluarga atau jiran untuk hadir ke lokasi program dan ada yang menunggu sehingga beberapa jam sebelum majlis bermula.
“Sepatutnya pihak yang merancang program perlu bertimbang rasa dan ada belas kasihan terhadap warga emas bagi mengelakkan mereka menunggu berjam-jam hanya untuk acara rasmi atau sesi bergambar,” katanya.
Beliau berkata sepanjang hampir dua dekad berada dalam politik, beliau sentiasa cuba mengelakkan penerima bantuan dihimpunkan terlalu ramai atau dipaksa beratur lama.
Cadangan ketiga yang dibangkitkan ialah keperluan kerajaan negeri memastikan senarai penerima BKJ benar-benar lengkap dan tepat sebelum bantuan diagihkan.
Menurutnya, terdapat aduan bahawa pasangan warga emas yang sepatutnya layak menerima bantuan tidak tersenarai kerana hanya ketua isi rumah dimasukkan dalam rekod kerajaan negeri.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan ramai terpaksa membuat rayuan selepas program diumumkan.
“Cara bantuan tunai diagihkan, bentuk pelaksanaannya dan sama ada ia benar-benar mencapai sasaran untuk membantu golongan memerlukan sudah mempunyai precedent cases yang boleh dijadikan panduan,” katanya lagi.
BACA JUGA Susulan kenyataan Hadi, ‘perang’ meletus penyokong Pas-Bersatu di media sosial