Anwar optimis rundingan AS-Iran buka semula Selat Hormuz tunjuk perkembangan positif

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima petunjuk yang menggalakkan daripada para pemimpin di Asia Barat berhubung rundingan ke arah perjanjian rangka kerja antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz.

Menurut beliau, rundingan itu sedang bergerak dalam trajektori yang progresif dan beliau melihat perkembangan tersebut dengan penuh optimisme.

Malaysia juga mengambil maklum peranan konstruktif yang dimainkan oleh Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudah cara proses rundingan tersebut.

Anwar turut menyambut baik penglibatan peribadi Presiden AS, Donald Trump dalam usaha mencapai penyelesaian secara rundingan.

“Kami berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan meneruskan rundingan sehingga mencapai kesimpulan yang berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa semua pihak mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata sedia ada, memastikan laluan selamat di Selat Hormuz, serta menangani kepentingan keselamatan sah semua negara di rantau berkenaan.

Tambahnya, Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang dapat menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.