Bersatu tepis tuduhan Pas, dedah kronologi apa yang jadi ketika konflik Negeri Sembilan
Biro politik Bersatu hari ini tampil menjawab beberapa tuduhan dilemparkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap parti itu termasuk berkaitan krisis politik di Negeri Sembilan.
Parti itu menafikan dakwaan bahawa Bersatu bertindak sendirian dalam krisis politik di negeri itu.
Dalam kenyataan enam muka surat hari ini, Bersatu mendedahkan, ketika krisis berlaku, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah bekerjasama rapat dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menguruskan krisis tersebut.
Kedua-dua parti telah bersetuju supaya lima ADUN Negeri Sembilan dari Perikatan Nasional, iaitu dua ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas, bekerjasama dengan 14 ADUN Umno.
Namun, selepas 14 ADUN Umno kembali menyokong Menteri Besar Negeri Sembilan dan bersama dalam Kerajaan Perpaduan, Azmin telah menghubungi kembali Takiyuddin untuk berbincang perkara ini.
“Azmin telah menghubungi Takiyuddin pada 28 April 2026 jam 11.06 pagi untuk berbincang pendirian yang perlu diambil secara bersama oleh Bersatu dan Pas.
“Walau bagaimanapun, perbincangan tidak dapat diadakan kerana Setiausaha Agung Pas memaklumkan beliau berada di Kota Baharu,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, Setiausaha Agung Bersatu telah mencadangkan supaya PN menarik diri daripada memberikan sokongan kepada 14 ADUN Umno.
Namun, tiada jawapan diterima daripada Setiausaha Agung Pas.
“Pada 30 April 2026 jam 11.53 pagi, sekali lagi Setiausaha Agung Bersatu menghubungi Setiausaha Agung Pas meminta untuk berjumpa dan berbincang tetapi tiada maklum balas diberikan.
“Dari 28 April sehingga 5 Mei 2026, Pas gagal untuk memberikan sebarang maklumbalas kepada cadangan Bersatu untuk menarik sokongan setelah Umno kembali menyokong kerajaan PH di Negeri Sembilan.
“Asas pendirian Bersatu adalah jelas dan konsisten bahawa sebarang kerjasama dengan Umno boleh diadakan dengan syarat parti itu memutuskan hubungan dengan PH,” jelasnya lagi.
Tambah kenyataan itu lagi, isu kemelut politik di Negeri Sembilan telah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Pas dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei.
Setiausaha Agung Bersatu telah memberikan jawapan yang panjang lebar mengenai kronologi peristiwa dan perbincangan dengan Setiausaha Agung Pas sebelum dan selepas kemelut tersebut.
“Mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026 seterusnya mengambil maklum penjelasan yang telah dibuat oleh Bersatu tanpa ada sebarang bantahan.
“Maka, tuduhan bahawa Bersatu mengambil tindakan secara bersendirian dalam menangani krisis politik di Negeri Sembilan adalah tidak benar sama-sekali,” jelasnya.