Makin banyak akaun palsu dicipta lalu dipadam lepas sebar kandungan 3R
Kemunculan akaun-akaun palsu di media sosial yang dicipta untuk menyebarkan kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja (3R) adalah cabaran utama kerajaan ketika ini untuk membendung tindakan tidak bertanggungjawab itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia mencabar kerana selepas akaun-akaun palsu ini menyebarkan berita 3R, akaun tersebut akan terus dipadam supaya tidak dapat dijejak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pola sedemikian mengandungi elemen jenayah yang jelas dan tidak boleh dipandang ringan.
“Kita nampak banyak akaun palsu dihasilkan, dicipta untuk terutamanya menghasilkan kandungan 3R. Setelah dihasilkan kandungan dan mereka sebarkan, akaun-akaun itu ditutup.
“Jadi ada elemen jenayah di situ, elemen yang baling batu sembunyi tangan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Belia Kreatif Komuniti MADANI, hari ini.
Fahmi bagaimanapun berkata, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pada masa ini masih mencukupi bagi menangani isu kandungan berbahaya di media sosial, termasuk yang membabitkan sensitiviti 3R.
Selain memberi perhatian terhadap kandungan sensitif, Fahmi berkata pihak berkuasa turut memantau kewujudan akaun palsu yang menggunakan imej dan nama Raja-raja Melayu serta kerabat diraja.
Beliau berkata, pihaknya mengesan kewujudan berleluasa akaun media sosial yang dicipta untuk melakukan kerja penyamaran.
Sehubungan itu, beliau menekankan platform pengendali media sosial untuk turut bersama memainkan tanggungjawab membanteras kewujudan akaun palsu dan penyamar daripada terus berleluasa.