Masjid tak tutup, azan tak dihalang, peguam ini kongsi kenapa naratif Islam terancam tak tepat
Dakwaan kononnya Islam sedang “terancam” di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi naratif yang dimainkan terutama di pentas ceramah tertentu.
Namun seorang peguam menegaskan, tuduhan sedemikian perlu dinilai secara adil berdasarkan fakta, bukannya bersandarkan sentimen politik, propaganda atau persepsi yang dimainkan pihak tertentu.
Menurut Dr Nik Rahim and Associates, dakwaan bahawa Islam sedang hancur ketika ini tidak mempunyai bukti kukuh secara menyeluruh kerana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan masih kekal, institusi Islam terus berfungsi dan pelbagai agenda berkaitan agama masih berjalan seperti biasa.
Peguam ini kemudian menyenaraikan beberapa fakta utama yang menurutnya membuktikan Islam masih kekal terpelihara di Malaysia termasuk kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak berubah, institusi Islam seperti JAKIM, sekolah agama, tahfiz, zakat, masjid dan surau yang masih menerima peruntukan serta sokongan kerajaan.
Kami kongsikan pandangan beliau seperti di bawah;
Sebelum membuat tuduhan besar, kita perlu jelas apa yang dimaksudkan dengan “Islam terancam”.
Adakah Islam tidak lagi menjadi agama Persekutuan Mahkamah Syariah dimansuhkan? Azan dilarang? Masjid ditutup? Pendidikan Islam dihapuskan? Institusi zakat dimatikan? Dakwah diharamkan? Umat Islam disekat beribadah?
Jika semua perkara asas ini masih berjalan malah diperkukuh, maka dakwaan “Islam terancam” perlu dinilai semula dengan jujur dan ilmiah.
Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Malaysia Masih Kekal
Perkara paling penting ialah kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan langsung tidak berubah.
1. Islam kekal agama rasmi Persekutuan
Perkara 3(1) Perlembagaan menyebut: “Islam ialah agama bagi Persekutuan.” Hakikat ini masih kekal sehingga hari ini. Tiada pindaan dibuat untuk menghapuskan kedudukan Islam.
2. Mahkamah Syariah masih wujud dan berfungsi
Mahkamah Syariah masih beroperasi di semua negeri, mengurus nikah, cerai, faraid dan jenayah syariah, masih mempunyai bidang kuasa tertentu menurut negeri masing-masing.
3. Institusi Islam terus dibiayai
Agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
MAIWP, jabatan agama negeri, institusi zakat, sekolah agama, tahfiz, masjid dan surau, masih menerima peruntukan dan sokongan kerajaan.
Jika Islam benar-benar “ditindas”, maka logiknya institusi-institusi ini akan dilemahkan atau ditutup. Tetapi realitinya tidak begitu.
Dakwaan yang sering dimainkan adalah “DAP menguasai kerajaan dan mengancam Islam”
Ini antara naratif paling popular.
Hakikatnya: Malaysia masih dipimpin Perdana Menteri muslim, majoriti Kabinet ialah muslim, Raja-Raja Melayu masih Ketua Agama Islam negeri, hal ehwal Islam masih di bawah bidang kuasa negeri, undang-undang syariah masih berjalan.
DAP juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengubah Perlembagaan sesuka hati. Untuk mengubah perkara besar berkaitan Islam dan Melayu memerlukan:
Majoriti besar Parlimen, persetujuan Raja-Raja Melayu, dan proses perundangan yang ketat. Maka dakwaan bahawa “Islam sudah dikuasai DAP” tidak tepat dari sudut struktur negara.
Naratif Islam semakin dipinggirkan.
Jika dilihat secara realiti, azan terus berkumandang, masjid penuh, kelas agama berkembang, program dakwah terus berjalan, sambutan Maulid Nabi, Ramadan dan Tilawah al-Quran tetap disokong kerajaan.
Malah PMX sendiri sering menghadiri program Islam, bercakap tentang maqasid syariah, membawa pendekatan Islam rahmah, memperjuangkan isu Palestin dan dunia Islam.
Orang boleh bersetuju atau tidak dengan pendekatan beliau, tetapi mengatakan beliau “memusuhi Islam” memerlukan bukti yang sangat kuat.
Adakah tiada langsung ancaman kepada Islam?
Di sinilah kita perlu jujur dan seimbang. Ancaman kepada Islam memang wujud tetapi bukan semestinya dari kerajaan.
Ancaman sebenar kepada Islam kadang-kadang datang daripada kejahilan umat, rasuah, ekstremisme, perpecahan sesama muslim, politik kebencian, fitnah, akhlak buruk, penyalahgunaan agama untuk kuasa.
Kadang-kadang umat Islam terlalu sibuk menuduh pihak lain mengancam Islam sedangkan solat diabaikan, rasuah berleluasa, fitnah menjadi budaya, masjid dipolitikkan, ilmu dipinggirkan.
Sedangkan Islam menekankan akhlak, ilmu dan keadilan.
Politik ketakutan dan sentimen
Dalam politik, sentimen “agama terancam” sangat mudah membangkitkan emosi rakyat. Kerana itu ada pihak menggunakan naratif ketakutan, memainkan isu kaum dan agama, membina persepsi bahawa hanya parti tertentu mampu menyelamatkan Islam.
Hakikatnya, Islam tidak boleh diselamatkan hanya dengan slogan. Islam dimuliakan dengan ilmu, akhlak, keadilan, integriti, pemerintahan yang bersih, perpaduan umat.
Pandangan yang adil
Bersikap adil bukan bermaksud menyokong semua tindakan kerajaan. Kerajaan tetap boleh dikritik soal ekonomi, pentadbiran, rasuah, kelemahan polisi, pengurusan negara.
Tetapi tuduhan bahawa “Islam sedang dihancurkan” mestilah disokong dengan bukti yang nyata dan kukuh. Islam mengajar umatnya berlaku adil walaupun kepada pihak yang kita tidak suka.
Kesimpulan
Berdasarkan fakta semasa:
Islam masih agama Persekutuan, institusi Islam masih kukuh, Mahkamah Syariah masih berjalan, pendidikan Islam terus berkembang, masjid dan dakwah tidak dihalang.
Maka dakwaan bahawa Islam sedang “terancam” di Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan pimpinan PMX tidak mempunyai bukti kukuh secara menyeluruh.