Tak salah ‘tukar kawan politik’, yang salah bila caci & hukum akidah orang – Mohd Yusri
Perpecahan dan kerjasama antara parti-parti Melayu adalah strategi politik biasa dalam demokrasi, namun tidak wajar dijadikan alasan untuk mencaci maki atau mempersoalkan iman orang lain, kata penganalisis politik.
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, dalam kalangan parti-parti Melayu, bukan sesuatu yang baharu apabila sesebuah gabungan politik itu saling bekerjasama, dan kemudiannya kembali berpecah.
Beliau menggunakan contoh sejarah kerjasama Pas dengan pelbagai parti-parti Melayu, yang akhirnya menyaksikan semua hubungan itu tidak bertahan lama.
Contohnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pas telah bekerjasama dengan Ikatan dan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera. Selepas pilihan raya, kerjasama tersebut pecah, senyap dan hilang.
Pas kemudiannya bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional, di mana ramai yang menangis teresak-esak ketika piagam kerjasama itu dimeterai. Tidak lama kemudian kerjasama tersebut pecah dan masing-masing membawa haluan sendiri.
“Semasa perpisahan dengan Umno itu, Pas menjalin kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional.
“Setelah beberapa siri drama panas dan hangat, nampaknya kerjasama Pas-Bersatu juga semakin menuju noktah akhir, hampir mustahil untuk diselamatkan,” katanya.
Bagi beliau, tiada apa yang salah apabila parti-parti Melayu berpakat lalu berpecah, kerana itulah demokrasi.
Namun beliau menegaskan, yang salah adalah apabila perbezaan politik itu digunakan untuk mencaci maki serta menghukum iman dan aqidah orang lain semata-mata kerana berbeza pendirian kepartian.
“Kerana mereka parti politik, berpakat dan berpisah antara parti-parti adalah strategi politik, masing-masing mencatur kuasa. Tiada salah pun strategi itu, tiada salah pun mencatur kuasa, kerana itulah politik dalam pentas demokrasi.
“Yang salahnya caci maki, yang salahnya habis iman dan akidah orang lain diadili akibat tidak sama dengan selera kepartian sendiri.
“Yang salahnya mencari salah bangsa lain konon-konon sebab Melayu berpecah. Semoga lepas ini kita boleh berpolitik dengan lebih matang, politik berpaksikan nilai,” ujarnya..