Tuduhan Bersatu khianat melampau, Hadi yang tidak patuh titah Raja Perlis

Biro Politik Bersatu menolak tuduhan Pas bahawa parti itu berkhianat dalam isu pertukaran Menteri Besar Perlis.

Sebaliknya parti itu mendedahkan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang gagal mematuhi titah Raja Perlis untuk menghadap baginda bagi membincangkan isu berkenaan.

Dalam kenyataan media enam muka surat itu, Bersatu menegaskan tuduhan khianat itu adalah melampau memandangkan tindakan parti dalam isu Menteri Besar Perlis adalah teratur dan beradab kerana menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Bersatu mendedahkan bahawa Raja Perlis telah menitahkan supaya Presiden Bersatu dan Presiden Pas menghadap baginda pada 25 Oktober 2025 untuk membincangkan isu kedudukan Menteri Besar. 

Namun sesi menghadap terpaksa dibatalkan kerana Hadi atas sebab-sebab tertentu tidak dapat hadir.

Seterusnya, Raja Perlis menitahkan kedua-dua parti mengemukakan nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan baginda. 

“Bersatu menjunjung titah Tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Tuanku sama ada untuk melantik seorang Menteri Besar dari parti Bersatu atau Paz mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

“Jadi, tuduhan bahawa Bersatu khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan oleh parti Bersatu dalam menjunjung titah Tuanku Raja Perlis adalah teratur dan beradab,” kata kenyataan dikeluarkan Biro Politik Bersatu.

Pada masa sama, Bersatu menegaskan bahawa tuduhan bahawa ADUN-ADUN parti itu menarik sokongan daripada Menteri Besar Perlis juga adalah tidak benar. 

Menurutnya, mereka hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Raja Perlis untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri tersebut mengikut kuasa budi bicara baginda.

Bersatu menegaskan isu-isu yang dibangkitkan Hadi dalam sidang medianya di Rusila pada 22 Mei 2026 termasuk pertukaran Menteri Besar Perlis, tuduhan tiada jentera pilihan raya, tindakan disiplin terhadap ahli-ahli Bersatu dan krisis politik di Negeri Sembilan sepatutnya dibawa ke meja musyawarah antara kedua-dua parti dan diselesaikan secara dalaman.